Friday, June 1, 2007

Usrah tidak mendisiplinkan fikiran

Seseorang telah mencampakkan beberapa pertanyaan yang menarik dan sekali gus mendasar tentang "bagaimana mencapai Pencerahan diri?". Soalannya berbunyi begini:

Saya hanya ingin meminta ulasan Fathi: Bagaimana kita hendak mengatasi masalah immature seperti mana yang disebut oleh Immanuel Kant -- yakni takut untuk berfikir dan menggunakan akal fikiran [sendiri].

Saya lihat fenomena ini terjadi di mana-mana [dalam masyarakat], sama ada di dalam kelas-kelas di sekolah, usrah-usrah, atau seminar-seminar peringkat kebangsaan. Apabila tiba sesi soal jawab atau sesi memberi ulasan, semua [peserta] diam sepi membisu.

Adakah [gejala] ini sudah menjadi budaya disebabkan genetik orang kita ataupun masih mampu diubah?

[Lihat pertanyaan di kaki coretan Usrah jadi ‘rutin rasmi’, maka ia gagal? ]

Ulasan baru saya seperti berikut [ulasan lama di sini]. Rujuk juga artikel-artikel Awal kebodohan di Indonesia, Puisi dalam trauma bahasa, atau Ancaman pembiusan agama:


(i)
Apakah yang mendorong kita berbuat sesuatu? Itu yang harus ditanyakan ke dalam diri kita. Kenapa kita asyik berbuat sesuatu itu (dengan cara-cara tertentu pula)? Apakah perkara-perkara yang menyenangkan kita? Dan, apakah kita ada “alasan”, atau hujah tertentu, yang menyebabkan kita menyenangi sesuatu itu?

Misalnya kita suka menonton rancangan gusti. Bolehkah kita jelaskan “sebab” kita menonton rancangan TV tersebut? Siapa ahli sukan (ahli hiburan?) gusti yang kita suka? Dan kenapa kita menyukainya? Siapakah pula ahli gusti yang kita tidak senangi – dan kenapa kita tidak menyukainya?

Apakah gerak-gerak serangan (dan cara mematahkan serangan) ahli gusti yang kita suka (dan tidak suka)? Kenapa kita suka (atau tidak suka) gerakan tersebut?

Selain gusti, apakah rancangan-rancangan lain di TV yang menyenangkan kita? Apakah rancangan-rancangan lain yang tidak menyenangkan kita? Bolehkah kita menjelaskan “kenapa” kita menyenangi rancangan TV tertentu, dan tidak menyenangi rancangan TV tertentu pula?

Persoalan-persoalan ini mungkin nampak mudah, sambil lewa dan tidak perlu. Tetapi jika kita ingin mengenali diri kita sendiri, menyuburkan minat berfikir, dan “kritik diri”, beginilah kita bermula.

Perkara-perkara inilah yang perlu kita “disiplinkan” dalam fikiran kita sebelum kita mengkritik masyarakat kita, negara kita, bangsa kita, pemerintah kita, media kita. Supaya kita menjadi “sedar diri” – apakah kita ini “sebahagian penyelesaian” atau “sebahagian masalah” (yang buruk dan tercela) dalam masyarakat kita.

>>> Kalau kita "tidak sedar diri", lambat laun kita akan "mengata dulang, paku serpih". Menuduh masyarakat itu ini, kita sendiri dua kali lima! Kita sebahagian beban bangsa ini ... bukan penggalas amanah.

Kita bermula dengan apa yang dekat dengan diri kita. Kita bermula dengan sesuatu yang kita kenali, kita telah biasa dengannya, yang menggerakkan diri kita – yang menjadikan “kita” itu kita!

Dalam buku saya Patah Balek: Catatan Terpenting Reformasi (artikel Siswa perlu ‘bahasa baru’, di perenggan 3, hal. 58), saya menggesa supaya siswa bertanya apakah “hubungan fikiran seseorang dengan sosialisasi persekitaran (sejak kecil)” yang telah mendewasakan kita.

Artikel ini elok dibaca bersama artikel-artikel Wacana ‘gelap’ Melayu (hal. 109-113), Akar umbi ‘pembodohan’ Umno (hal. 182-187) dan Tenggelam di bawah masyarakat (hal. 188-191).

Dengan bahasa lain, apakah yang telah disumbat ke dalam fikiran kita oleh ibu bapa kita, guru dan ustaz kita, buku-buku yang kita baca, media yang kita baca/tonton, dan rakan-rakan yang kita kongsikan pengalaman?

Kita harus bertanya: Apakah kesannya buah-buah fikiran mereka, pandangan mereka, maklumat mereka ke atas diri kita? Jika kita tidak mempercayainya, jika kita mengabaikannya, atau jika kita mempertikaikan buah-buah fikiran mereka, pandangan mereka, maklumat mereka itu, apakah pula kesannya ke atas diri kita?

Yakni, kita harus memproses kembali, menyelak dan merungkai semula maklumat (data, pengetahuan, fakta, analisis dan ilmu) yang telah disumbatkan ke dalam fikiran kita.

Satu contoh mudah, roti canai atau nasi lemak yang kita makan. Dua jenis makanan ini samalah tarafnya dan fungsinya dengan buah-buah fikiran orang, pandangan orang, maklumat orang yang masuk ke dalam alam fikir kita. Kita terus telan dan telan. Kita suka dan kita tidak suka.

Tetapi kita tidak pernah “mengkaji”, menyoal dan “menganalisis”, roti canai dan nasi lemak yang menyenangkan (atau, tidak menyenangkan) kita. Apakah ramuannya sehingga sesuatu makanan itu menggembirakan kita. Bagaimana ia dibuat? Apakah bahan-bahan yang perlu? Bagaimana adunannya sehingga ia memberikan kesan “sedap” dan “tidak sedap” kepada diri kita?

Kita tidak rungkaikan komponen-komponen (bahan) asasnya dan kita tidak mengetahui bagaimana bahan-bahan asas ini digaul, dibancuh atau diadun sehingga mencipta keenakan (atau rasa tidak enak).

“Kesedapan” atau “keenakan” tanpa memahami bagaimana ia menimbulkan kesan ke atas diri kita sebenarnya samalah tarafnya dengan “penjajahan fikiran” – ia menjadikan kita suka, “tergantung” padanya, menjadikan kita “pengguna” tetapi gagal menjadikan kita “pembuat” atau “pengkritik” yang boleh menunjuk ajar bagaimana seharusnya makanan itu dibuat!

Dalam bahasa ilmiah yang canggih, kita sebut kesan ini sebagai “hegemoni” – yakni kesan asyik atau khayal yang dicetuskan oleh sesuatu wacana (ilmu, analisis, maklumat, fakta, ajaran, pengetahuan, cerita, berita, puisi, filem) sehingga kita terlupa atau kita tidak mampu menyemak semula asas-asas, dasar-dasar, yang membuatkan kita “asyik” atau khayal!

(ii)
Sebelum kita memahami keenakan roti canai atau nasi lemak, kita tambah pula kuah kari, ayam goreng, teh ais, sehingga hidangan di depan kita bertambah banyak, bertambah enak dan bertambah asyik!

Begitulah fikiran-fikiran di luar diri kita (di sekeliling kita) “membius” otak kita sehingga kita terlupa untuk mempersoalkannya. Jika kita terlintas untuk mempersoalkannya, akan timbul rasa “takut” seolah-olah kita sendirian berdiri di jurang yang sangat dalam atau puncak yang sangat tinggi.

Ambil contoh mudah, apakah benar Tuhan itu wujud? Jangan-jangan cerita tentang Tuhan itu satu dongeng orang tua-tua? Apakah benar al-Quran itu wahyu? Atau, jangan-jangan ia dicipta, ditapis, oleh manusia? Benarkah Nabi bertapa di Gua Hira’ atau beliau ke sana untuk bermalas-malasan sahaja? Daripada khayalannya, sewaktu bermalas-malasan itu, muncul rekaan untuk menceritakan tentang malaikat dan wahyu?

Kita “takut” untuk membisikkan pertanyaan-pertanyaan tentang hal ini. Lalu kita terima seolah-olah maklumat ini semua begitu pasti dan sudah sedia ada (semula jadi) seperti matahari, batu dan kemaluan kita sendiri.

Daripada ketakutan inilah, kita biarkan ia berkembang sehingga beberapa pandangan ulama (yang “dikatakan” pandangan Islam) menjadi begitu sebati dan semula jadi tumbuh berkembang di dalam fikiran kita. Pengetahuan menjadi “fakta” sahih; pengetahuan menjadi begitu pejal dan pasti seperti seketul batu!

Nanti, nanti dulu. Akibat kegagalan kita mempersoal semua ini, maka tidak akan ada motivasi untuk mencari jawapan-jawapannya. Jika tidak ada soalan yang kita dambakan, maka tidak akan ada usaha untuk berilmu, membaca buku, berdiskusi, berbahas – akhirnya fikiran menjadi “beku” dan “tertutup”. Yang cair telah menjadi ais!

(iii)
Usrah, media prokerajaan, ceramah pembangkang, kempen NGO, dan falsafah -- semuanya berminat memberikan kita roti canai, nasi lemak yang enak-enak dengan sejumlah hidangan yang mengasyikkan. Supaya kita makan kenyang-kenyang! Supaya kita jadi gemuk gedempul. Awas!

Usrah tidak bercadang mendisiplinkan fikiran kita supaya iman kita tumbuh subur dalam disiplin diri yang kita gali dan terokai sendiri tetapi usrah membuatkan kita terus bergantung pada diri naqib, naqibah, jemaah dan kitab-kitab. Awas!

Wallahu a’lam

Nota: Jangan percaya huraian di atas, ia juga sejenis roti canai dan nasi lemak! Awas...

4 comments:

Anonymous said...

Salam Saudara FAO,

Pertama sekali biarlah saya berterus terang tatkala membaca rencana saudara memanglah meremang jugak bulu roma ini.Apalah yang cuba dibuktikan oleh mamat ini sehingga benci kesumatnya begitu tinggi terhadap terma-terma usrah yang digunapakai ketika ini.

Tapi jika wacana pemikiran ini dibawa ke barat,saya pikir pasti ramai pemikir2 Barat menyokongnya hatta pemikir orientalis Islam sekalipun.

Ya mungkin ada kebenaran artikel2 saudara sebelum ini yang saya kira ada wujudnya halangan mental(mental block) lahir dalam diri para daei yang bertungkus lumus mengendalikan perkumpulan usrah.Saya tidak nafikan hal ini memang berlaku dalam suasana keseronokan dan kehangatan ukhuwah yang terjalin bersama para madu' ketika berusrah.

Namun,itu bukanlah menjadi syarat untuk merelakan setiap baris kata saudara yang mahu membawa proses islah dalam silibus usrah,umumnya ketahui banyak berlandaskan sumber-sumber Al-Quran dan Al-Hadith.

Cumanya bentuk usrah ketika ini yang dilihat agak jumud dengan pemikiran2 dan mungkin juga ketaksuban dalam menggunapakai ide2 para cendekiawan Islam bagi menghalalkan proses pencerahan fikrah mereka.

Pada saya,selagi mana ide-ide itu tidak lari dari syariat Islam,ia masih dikira mampu melahirkan para cerdik pandai alim ulama' malah muslim yang berperibadi mulia jika kena pada tempatnya dan apa2pun atas Iradat dan Kekuasaan Allah jua.

Jangan kerana proses usrah yang diikuti saudara menjadi satu batu loncatan untuk saudara menghentam perjalanan usrah itu sendiri.Jangan juga kerana kewujudan beberapa kerat manusia yang diperhati dalam kaca mata saudara menjadi dalil untuk saudara menyalahkan proses dakwah melalui usrah yang sedang giat diusahakan oleh para daei lain.

InshaAllah ruang lingkup usrah itu boleh dikembangkan sekiranya para daei yang berusrah mampu keluar ke medan masyarakat melihat sendiri kebobrokan gejala sosial dan permasalahan politik tanah air.Dalam kata lain keluar dari kempompong usrah masuk ke medan realiti yang pastinya lebih mencabar dan cukup mengerikan.

Doa saya agar wacana pemikiran ini tidak disalahtafsir oleh kebanyakan dan diharap apa saja jurus-jurus positif yang wujud dari artikel saudara dapat diterima dengan penuh keterbukaan dan berlapang dada.

Sekian.wassalam

fathi aris omar said...

Sdr, salam. Terima kasih.

Saya setuju penyataan Sdr seperti berikut:

Ruang lingkup usrah itu boleh dikembangkan sekiranya para daei yang berusrah mampu keluar ke medan masyarakat melihat sendiri kebobrokan gejala sosial dan permasalahan politik tanah air.

Dalam kata lain keluar dari kempompong usrah masuk ke medan realiti yang pastinya lebih mencabar.


Saya ulang, kritik saya mungkin salah. Jauh daripada kesempurnaan.

Tetapi yang saya maksudkan, kenapa usrah tidak se-produktif (as productive as) dan se-responsif (as responsive as) cabaran-cabaran sosial, politik, budaya, pemikiran, pertarungan ideologi, mazhab keilmuan, teori-dan-falsafah teknologi?

Kenapa usrah tidak menyediakan kita "medan latihan amal islami" seperti mana kampus, kelas tutorial, dewan kuliah sebagai "medan untuk masuk ke pasaran kerja dan alam pekerjaan"?

Persoalan pokok saya: Kenapa lagi lama kita berusrah, tiada meningkatkan pengalaman dan ilmu yang "signifikan"?

Di kampus, kita mendapat sijil, diploma, sarjana muda, sarjana dan PhD. Kenapa usrah tidak begitu sifatnya?

Yakni, dari sisi peningkatan kefahaman dan analisa mendalam tentang "realiti ummah", tentang waqi' itu sendiri?


Saya jawab ringkas dulu. Nanti saya ulas panjang lagi, jika tiada aral melintang, termasuk menjelaskan motivasi dan kerangka analisa saya sehingga mendorong saya membangunkan blog ini.

Terima kasih. Ajaklah rakan-rakan Sdr berfikir serius, contemplative, reflective. faomar@yahoo.com

fathi aris omar said...

Kawan saya dari jauh mengirim e-mel berbunyi begini (selepas suntingan) Saya terbitkan di sini sebagai bahan diskusi lanjutan isu ini:

[mula] Salam.

Kau menulis begini:

Ambil contoh mudah, apakah benar Tuhan itu wujud? Jangan-jangan cerita tentang Tuhan itu satu dongeng orang tua-tua? Apakah benar al-Quran itu wahyu? Atau, jangan-jangan ia dicipta, ditapis, oleh manusia? Benarkah Nabi bertapa di Gua Hira’ atau beliau ke sana untuk bermalas-malasan sahaja? Daripada khayalannya, sewaktu bermalas-malasan itu, muncul rekaan untuk menceritakan tentang malaikat dan wahyu?

Bro, apa kita perlu berfikir sejauh itu? aku harap itu hanya sekadar contoh..

Sebelum ini, aku ada sajikan tulisan mu dengan seorang teman disini. Dalam rangka aku cari kawan sembang. Responnya, tulisanmu agak menggetarkan sekaligus membahayakan pada pembaca yang tidak punya asas dalam agama. [tamat]

Saya menjawab (secara ringkas) begini:

Kawan-kawan kita di sini, khususnya bersama KsJT, pernah bertanya: Apakah adil Tuhan menciptakan kita sebagai orang Islam semata-mata kerana ibu bapa kita Islam?

Sedangkan anak seseorang bukan Islam harus mencari, mengkaji dan mengenali Islam sebelum dia mengenali dan terpengaruh dengan Islam? Di mana sebenar-benarnya "iman" dan "Islam" seseorang? Pada keturunankah? Pada tubuh seseorangkah?

Aku tidak boleh menerima hakikat iman itu (yang dikatakan sangat berharga, yang menentukan kita ke syurga atau neraka) semata-mata faktor kelahiran, semata-mata dilahirkan dan dibesarkan di tengah-tengah ibu bapa, keluarga dan masyarakat Muslim. Semata-mata faktor darah daging.

Sangat tidak adil kalau iman bergayut di tubuh seseorang! Keadilan Tuhan tidaklah seperti itu!

Semua manusia bermula dari Ruh. Semua Ruh berjanji kepada Tuhannya sewaktu Tuhan bertanya: "Alastu birabbikum?" (terjemahan: Adakah Aku ini Tuhan kamu?). Ruh pun menjawab: "Qalu bala syahidna" (terjemahan: Mereka berkata: Bahkan, ya, Tuhanku, kami mengambil saksi).

>>> Ini ayat al-Qur'an yang tersohor tentang perjanjian manusia (di alam ruh) dengan Tuhan.

OK, kalau macam itu, kenapa sewaktu tercampak ke muka bumi, ruh kita keluar dari kelangkang ibu kita yang Muslim, sedangkan ruh kawan kita (katakan Clarissa Lee atau Beh Leh Yi) keluar dari paha ibunya yang bukan Muslim?

Katakan, ruh engkau dan ruh aku keluar dari celah paha ibu yang bukan Muslim. Katakanlah begitu.

Apa yang akan kau jawab di depan Tuhan nanti jika kau tidak beriman, tidak mengenal Islam? Maksud aku, apakah salah engkau dan salah aku sehingga ruh aku menjadi tidak Islam (semata-mata ibu bapa kita bukan Islam)?

fathi aris omar said...

Di blog Saifulislam.com, bawah tajuk "Anti Slogan" (4 Mei 2007), komentar nombor 25, saya menulis begini.

Saya mengulas pandangan Ustaz Hasrizal tentang artikel saya Ancaman Pembiusan Agama di blog saya ini:

Ustaz menulis begini: Jika kelakuan anda dalam kehidupan menunjukkan kepada adanya Dia, maka yakinlah anda. Jika tidak… anda sebenarnya baru tahu… tetapi BELUM YAKIN.

Maka anda belum beriman, selagi anda belum mempersoalkan iman anda itu.. dengan kritis.

Teman2 khususnya di Jalan Telawi, dan saya, percaya beriman itu suatu proses pencarian dan penerokaan (akal, ruh, diri); bukan warisan biologi dan juga bukan warisan pengetahuan. Iman menjadi persoalan dan pergelutan “peribadi”, dalam diri, tersembunyi dan halus kerana ia bersifat mujarad (abstrak) dan subjektif.

Di bahagian inilah memungkinkan — agak saya — Ustaz bersetuju dengan beberapa idea saya dalam artikel tersebut. Saya tidak menjangka dia bersetuju semua (seluruhnya) dengan artikel tersebut.

Sekali lagi, pada telahan saya, artikel saya tersebut mencetuskan suatu renungan baru di dalam diri Ustaz; khususnya persoalan menghalusi keyakinan (iman) diri kita dalam hubungannya dengan pengetahuan yang kita kumpul.

Iman tidak boleh melekat di dalam diri tanpa ilmu; tetapi … ilmu tidak akan mencetuskan iman jika kita tidak menyemak kembali ilmu tersebut, termasuk menyoal semula sejumlah pengetahuan yang kita kumpul.

Proses menyemak pengetahuan tersebut dipanggil “berfikir secara kritis” atau disebut autocritic atau “kritik diri”. Boleh juga dipanggil “muhasabah” tetapi bukan penilaian kembali dosa-pahala dan amalam kita. Namun, penilaian kembali pengetahuan kita yang menjadikan kita “kenal” atau “faham” (bukan sekadar “tahu”) bahawa Allah itu tuhan di dalam diri kita.

Kalau tidak salah saya (minta Ustaz betulkan), satu hadis Qudsi menyebut: “Aku seperti mana hamba-hambaku sangkakan tentang Diri-Ku”. Ertinya setiap orang “memandang” (melalui akal) Tuhan masing-masing mengikut kadar kemampuan pengetahuannya.

Jadi, kalau kita susun semula kata-kata ini dan maksudnya dalam bahasa bersastera (literary) dan bukan harfiah (literal): Setiap orang ada Tuhan masing-masing!

Dan … pada hemat saya, itulah yang disebut “iman” yang mengawal diri.

Ada pun selebihnya, ia disebut “kesedaran palsu” (dalam wacana pemikir Marxist) atau bagi saya, “fiction” atau cereka — ia tidak benar dan tidak berjejak di alam nyata tetapi dirasa-rasakan (dalam logika diri) seakan-akan “benar”.

Contohnya mudah. Bandingkan satu keratan berita (akhbar) dengan sebuah cerpen. Kedua-duanya karangan tetapi berita berasaskan fakta, namun cerpen hanyalah rekaan. Tetapi seperti juga berita, cerpen itu memenuhi logiknya sendiri (internal logics) sehingga ia kelihatan seakan-akan hakikat yang nyata.

Contoh lain, filem dokumentari (katakan tentang ular) dengan filem Hollywood (katakan tentang cinta sepasang kekasih). Sekali imbas, filem Hollywood ini seakan-akan benar, sama nyatanya dengan dokumentari tetapi pada batinnya suatu gubahan yang direka!

Iman boleh jadi sebuah berita atau dokumentari; dan boleh jadi juga cerpen dan filem Hollywood. Semuanya itu tergantung pada proses kita menggali, jungkir-balik kata orang Indonesia, pengetahuan kita secara kritis sehingga ia bertukar “faham” (bukan “syak” atau “wahn”) yang bermakna di dalam diri.

Di sini, menurut tafsiran Karl Popper tentang “interactionism”, jasad (atau alam benda) telah menyebati dengan alam mujarad (pengetahuan). Di sini, pengetahuan atau imaginasi menjadi sebahagian daripada tubuh.

Dan di sinilah jawapan (teori) tentang hubungan antara ilmu, iman dan amal.