Jika anda bertanya, apakah yang membezakan seseorang yang “beku” pemikirannya, dengan seseorang yang “tidak beku” atau terbuka fikirannya? Dan, apakah orang yang “terbuka” fikirannya bermakna seseorang yang tidak mempunyai prinsip, pegangan hidup, agama atau seperti lalang ditiup angin?
Ada sesuatu yang tersembunyi di sebalik tabir pemikiran seseorang anggota usrah, di sebalik tabir penghujahan seseorang aktivis dakwah atau penggiat parti Islam.
Ada ketikanya, kita boleh mengesan sesuatu yang tersembunyi itu -- khususnya apabila mereka bercakap, menulis atau berhujah.
Tetapi banyak waktunya kita gagal mengesan “sesuatu yang tersembunyi” itu kerana ia tersimpan jauh ke dalam benak anggota usrah (dan sesiapa juga yang berfikiran beku atau tertutup).
Semua manusia (kecuali yang ego atau bodoh sombong) menyedari dirinya “tidak mengetahui” banyak perkara. Dalam bahasa mudah, kita sedar kita ini “jahil” dalam hal-hal tertentu. Kita tidak mengetahui sesuatu itu, terra incognito, maka kita tidak boleh menilainya.
Wilayah yang tidak ketahui ini, terra incognito, ibarat gelap malam yang membungkus alam di depan mata kita. Alam itu wujud nyata tetapi kegelapan membungkusnya sehingga ia mencipta “kegerunan” di dalam diri kita.
Sesuatu yang sudah kita ketahui (misalnya rumah kita sendiri) menyimpan “rahsia” tertentu apabila terlalu gelap. Mungkin ada lipas merayap-rayap atau seketul nasi kering. Apatah lagi alam yang kita tidak ketahuinya (misalnya belukar atau hutan tebal di waktu malam).
Beginilah sifat kejahilan dan kesannya ke atas kita, termasuk anggota-anggota usrah.
Sejumlah pengetahuan yang kita kumpul melalui usrah (jika sebatas itu sahaja pengetahuan agama kita) mencipta “cahaya malap” untuk menyuluh kegelapan tersebut.
Tetapi, oleh kerana cahaya malap itu dianggap (baca: "dirasakan") sudah memadai untuk menerangi kegelapan tersebut, maka kita rasa ia sangat berguna kepada kita. Lalu kita terus menggunakan cahaya malap itu untuk meredah kegelapan malam, mengembara jauh dan semakin jauh dalam hidup ini.
Pendidikan kejiwaan, tarbiyyah ruhiyyah, yang ada dalam usrah itu tidak lain dan tidak bukan kecuali permainan psikologi diri sendiri akibat pertarungan (tension) yang wujud antara alam gelap dengan lampu malap. Ia mencetuskan sejenis khayalan untuk berpuas hati dengan “lampu malap” yang digunakan sewaktu menyuluh alam kegelapan.
Sebab itulah kita dapat lihat orang boleh terus bersabar dengan kegiatan usrah tanpa peningkatan ilmu, kerana kononnya usrah berjaya membekalkan “tarbiyyah ruhiyyah” (baca: khayalan atau kesan psikologi) yang menariknya untuk terus beramal dengan beberapa aspek (bahagian) Islam.
Cahaya malap itu diusung pula secara berkumpulan -- nama pun usrah dan jamaah. Maka cahaya malap itu menjadikan unit usrah itu (dan jamaah -- himpunan unit-unit usrah) mengengsot-engsot untuk meredah pekat malam yang gelita.
Seseorang yang membaca lebih banyak, mengetahui ragam-ragam pengetahuan yang lebih pelbagai, yang cuba berfikir berbeza dan lebih rancak ibarat seseorang yang berjaya mencipta lampu suluh yang semakin terang, dan semakin terang.
Cahaya yang terang itu akan menjadikan suluhannya lebih jauh dan lebih perinci. Cahaya itu membongkar banyak lagi realiti alam yang kecil-kecil, sisi-sisi gelap alam, yang selama ini tersembunyi daripada ahli-ahli usrah apabila menggunakan lampu malap.
Orang seumpama ini sama ada disebut ulama atau dilantik pemimpin oleh kumpulan usrah. Atau, akan meninggalkan usrah. Sebab apa?
Sebab anggota-anggota usrah (yang menggunakan lampu malap) menggambarkan realiti alam yang sempit, terbatas, “miskin gambaran”, dan tidak perinci. Perbahasan tentang ilmu (termasuk ilmu Islam) atau “analisis isu semasa” akhirnya menjadi cetek, biasa-biasa sahaja, dengan konsep-konsep yang sudah selalu didengar dan berulang-ulang, hujahnya sudah basi (lama), kosa katanya terhad (tidak kaya, tidak rencam), ungkapan, atau sisi-sisi pandangnya (sisi pandang akal) yang terbatas.
Usrah seumpama ini merimaskan seseorang yang banyak membaca, rancak berfikir atau luas pergaulannya kerana lampu suluhnya yang terang berjaya membongkar alam dengan lebih baik. Lama kelamaan, seseorang itu berasa usrah itu sesuatu kegiatan yang “tidak menarik” atau “mundur” kerana tiada suatu yang baru, berpusing-pusing berbuat perkara yang sama dan “tidak mencabar”.
Anggota-anggota lain dalam usrah berjalan berengsot-engsot, bertatih-tatih, terkial-kial dan kadang-kadang menggigil akibat lampu malap yang ada di fikirannya. Sementara anggota usrah yang berlampu suluh terang itu boleh berjalan lancar, dan kadang-kadang berlari, dengan cepat untuk meneroka kawasan luas kehidupan ini.
Sebab itulah, seperti saya sarankan, selagi usrah tidak mereformasi sikapnya terhadap ilmu dan pengetahuan -- khususnya yang terkini -- maka selama itulah gerakan usrah dan jamaah Islam akan gagal menawarkan jawapan-jawapan alternatif yang konkrit terhadap masalah-masalah yang menimpa ummah.
Apa sahaja permasalahan yang menimpa ummah ini akan gagal dianalisis dengan baik, malah mereka terus meraba-raba, menjamah itu dan memegang ini dengan tangan (secara nyata) kerana jarak suluhan lampunya yang terbatas.
Seseorang yang mempunyai lampu suluh yang terang benderang tidak perlu berbuat demikian. Dari jauh sahaja, dia boleh mengesan sesuatu objek dengan baik. Maka, dia tidak perlu bergerak ke situ atau berjalan untuk menjamah dan meraba-rabanya.
Lampu suluh yang terang itu memberikannya “ruang teori”, “jawapan alternatif”, atau kemungkinan awal (feasibility studies atau conceptual framework, sebelum melaksanakannya di alam nyata) dengan ungkapan dan bahasa (hasil dalamnya fikiran) yang lebih cair dan terperinci kerana suluhan itu mendedahkan banyak benda.
Dengan lampu suluh yang terang itu, dia menjadi “berani” kerana dia boleh mengesan pergerakan alam di sekelilingnya dengan lebih baik. Dia mengetahui ruang geraknya. Di mana boleh berlari, di mana seharusnya dia berjalan, di mana tempat meniti, di mana pula harus ke kanan atau ke kiri, di mana harus tunduk, di mana pula berjalan tegak.
Kita namakannya “pemikiran yang anjal”, dan kita boleh juga sebutkan “aktivisme yang anjal”.
Tetapi mereka yang memiliki lampu malap, sentiasa gagal mengungkap sesuatu di sekelilingnya dengan baik, dengan tepat, kerana dia gagal melihat dengan jelas. Ada kesan psikologi yang mendorongnya untuk berpegang pada tradisi (yang sudah dilazimi), berpegang pada “nasihat” atau buah fikiran nakib (atau "ulama") kerana dia sentiasa takut atau was-was untuk berfikir sendiri.
Mereka bersandar pada orang lain yang berjaya merasuknya kerana diri sendiri dianggap "jahil" atau "tidak mampu". Selalunya, mereka lebih senang berdiam diri, bukan berhujah atau bertanya.
Jika mereka suka bercakap, kadang-kadang yang dicakapkan itu bukannya ada isi bernas; tetapi bercakap sekadar keperluan bercakap, termasuk mengulang-ulang apa yang pernah didengarnya.
Apabila berhujah atau berdebat pula, pandangannya kelihatan tetap (fixed), pada satu sisi pandang sahaja, kerana dia tidak boleh melihat sesuatu persoalan dari banyak sisi, dengan kosa kata-kosa kata yang pelbagai. Bahasa yang diluahkannya terbatas seolah-olah dia tergagap-gagap ketika cuba menjelaskan sesuatu.
Apabila dihadapkan kepadanya istilah baru, konsep baru, cara berhujah baru, ilmu baru (yang tidak pernah didengarnya), maka akan timbul rasa takut di dalam dirinya, timbul rasa "rendah diri", lalu untuk "berlagak pandai", dia pun menguatkan lagi hujah lazim yang sedia didengarnya sebelum ini (dari nakibnya, dari ulama yang disenanginya atau dari majalah Islam yang dibacanya).
Dia tidak akan mendengar lebih lanjut kerana "was-was" dengan pengetahuan baru itu. Dia tidak akan sabar menekuni sesuatu yang baru dan "ganjil" itu ("ganjil" daripada koleksi idea yang sedia ada di dalam fikirannya). Dia akan berdiam diri dan tidak bertanya -- untuk mempelajari dan memahami sesuatu yang baru itu.
Ada ketikanya, ia mudah melatah atau beremosi apabila sesuatu idea itu tidak disenangi. Atau, jika rasa tidak senang, terus melarikan diri. Fikiran tertutup mendinding dirinya daripada idea baru dan pengalaman baru.
Sebaliknya, akibat kesan psikologi itu, mindanya menolak mentah-mentah sesuatu yang dianggap "baru", "pelik" atau "asing" kerana terra incognito (dalam wilayah pengetahuannya) gagal memahamkannya.
Ibaratnya, radar diri gagal mengesan ketibaan jet pejuang musuh; tiba-tiba ledakan bom terjadi di mana-mana, bertubi-tubi, termasuk dekat bilik kawalan radar dirinya. Dia menjadi panik dan berpeluh. Lalu, dia membungkus diri (konon "menyelamatkan diri" daripada serangan asing), menutup minda lagi, daripada mempelajari sesuatu yang baru itu. >>> Lihat analisis saya di sini: Kisah dua pucuk surat.
Sebab itu, satu ciri yang ada pada orang ini: malas membaca sesuatu artikel atau buku yang dianggap "bertentangan" atau berlainan dengan fikrahnya; malas berhujah. Apa yang ada dan terbatas, "lampu malap" itu, terus dipegang kukuh-kukuh; enggan disemak lagi. Dia malas mengkaji, menggali, meneroka dan menyelidik hujah lawan-lawannya. Dan, malas pula memeriksa kuat-lemah, bernas-tidak pegangannya kini. Seseorang tokoh yang bukan daripada alirannya akan segera dicurigai.
Orang seperti ini tidak boleh berdepan dengan arus perubahan. Dia sentiasa ketakutan pada sesuatu yang baru. Dia gagal menyelami yang baru itu dan sebab itu tidak memahaminya. Apabila gagal memahaminya, akan gagal pula menyertainya (participation). Tegaklah prasangka tebal yang bukan-bukan.
Orang seperti ini -- berapa lama pun dia berusrah -- tidak mungkin membela Islam, apatah lagi mengembangkan agama. Dia wujud sebagai “beban” kepada gerakan Islam atau usrahnya sendiri.
Lihat sendiri, bukalah mata, berapa ramai "beban" dalam kumpulan usrah anda? Dalam jamaah anda?
Kita sebut orang seumpama ini “tertutup” kerana tetapnya cara mereka menjawab sesuatu persoalan dan gagal menolak hujah lawannya, khususnya apabila lawan hujahnya itu memiliki sebuah lampu suluh yang terang benderang.
Hidup ini, bagi dirinya, lebih mudah jika menjawab soalan objektif (A, B, C, ... E) dan kalau boleh mendapat soalan spot atau soalan bocor!
Sebab itu, walaupun usrah itu bukan kumpulan diskusi buku tebal-tebal, ahli-ahli gerakan Islam atau anggota usrah haruslah bersedia menerobos terra incognito diri masing-masing dengan membaca aktif buku-buku besar yang setanding dengan cabaran zaman yang ditimpakan ke atas ummah ini.
Sewaktu saya mencadangkan sejumlah buku dalam artikel-artikel tentang usrah [lihat senarai itu di sini atau yang lebih awal di sini], begitulah maksud saya.
Sesungguhnya, kata al-Quran, hanya segelintir di kalangan mereka itu mengetahuinya. Apakah sama orang yang mengetahui itu dengan orang yang tidak mengetahui, soal al-Quran. Lalu, Quran berkata lagi... Haatu burhaanakum, inkuntum sadiqin....
NOTA: Sebagai ujian diri anda sendiri, cubalah fahami dan berhujah (menolak, jika tidak bersetuju) dua artikel ini: Maksiat sebagai wacana politik atau Gejala Siti Nurhaliza dan PAS. Jika anda tidak mahu menjawab di kaki coretan ini, berhujahlah bersama rakan usrah anda.
Wednesday, June 6, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
saudara fathi,
kami baru tamatkan satu kitab 'afatun ala thoriq'.
boleh cdgkan sebarang teks2 yg bagus untuk bacaan usrah. usrah kami terdiri dr semua golongan dari level doktor hingga peniaga abc
Sudah baca buku saya, Patah Balek: Catatan Terpenting Reformasi?
Mungkin ada butiran-butiran (theme atau tema) tertentu yang boleh dibahaskan daripada buku saya ini.
faomar@yahoo.com
Post a Comment