Sunday, May 13, 2007

Mereformasi usrah Melayu

Seorang teman yang sedang belajar di luar negara menulis e-mel kepada saya untuk melakukan "reformasi" pada usrahnya tetapi tidak mempunyai kepakaran dan latihan dalam bidang falsafah. Berikut saya terbitkan kembali e-melnya kepada saya (selepas diedit) dan jawapan saya kepadanya:

[E-melnya begini]

Assalamu 'alaikum.
Saya tertarik dan sungguh berminat dengan pandangan yang diutarakan dalam blog usrah2007.blogspot.com. Saya ingin minta pandangan Fathi bagaimana untuk memulakan inisiatif perubahan sistem usrah di kalangan pelajar Melayu? Masalah utamanya, kami tiada kepakaran dalam bidang falsafah untuk memimpin usrah kami. Apakah agaknya langkah pertama yang patut diambil?
Terima kasih.

[E-mel saya pula begini]

Wa 'alaikum as-salam,
Semoga Tuhan merahmati hidup Sdr dan teman-teman. Terima kasih atas minat Sdr tentang isu ini.

Sukar saya nak menjelaskan hujung pangkal persoalan ini melalui e-mel yang terbatas ini. Sebaik-baiknya kita duduk berdiskusi. Komunikasi terbaik tetap juga secara bersemuka.

Saya tidaklah menyarankan usrah itu hanya mendiskusikan buku-buku falsafah. Jangan salah faham. Yang saya maksudkan ialah bagaimana bidang falsafah (dan sains sosial umumnya, termasuk sejarah, sosiologi, kajian media [media studies], kajian budaya [cultural studies]) boleh menajamkan akal, boleh menganjalkan sudut-sudut pandangan sehingga kita tidak terperangkap dalam isu-isu umum yang dasar sahaja.

Ambil contoh "produk halal" untuk dipasarkan di peringkat antarabangsa. Bukan soal penyediaan makanan sahaja yang harus mengikut lunas-lunas Islam tetapi juga penjagaan kualiti produk (premium quality), penjenamaan (branding), pempakejan (packaging), keselamatan dan kesihatan, reka bentuk kulit produk, pemasaran, promosi dan hal-hal seumpamanya ... Barulah produk halal akan mendapat tempat di pasaran antarabangsa, di negara mana pun, khususnya di rangkaian pasar raya yang kukuh dan berpengaruh.

Jadi, apabila kita memikirkan isu "produk halal", barulah kita sedar bahawa isu halal-haram itu "kecil" sahaja (dari segi jumlah pengetahuan yang kita perlukan) berbanding hal-hal yang bersifat pemasaran, seperti aspek-aspek pemasaran.

Contoh 2: Industri pakaian menutup aurat bagi wanita (busana Muslimah). Bukan sahaja ciri-cirinya memenuhi aspek-aspek "asas" menutup aurat tetapi juga soal fabriknya (material kain), fesyen, reka bentuknya, jumlah pilihan produk, harga, pemasaran dan promosi.

Sekali lagi isunya berbalik kepada jumlah pengetahuan yang banyak di luar soal-soal fekah (halal-haram menutup aurat) kepada pengetahuan yang tidak dibekalkan secara langsung oleh agama (termasuk usrah!), misalnya soal seni reka bentuk, tekstil, pemasaran, keusahawanan dan seumpamanya.

Contoh 3: Lagu-lagu nasyid. Apakah yang kita (sebagai pendengar yang meminati "hiburan Islami") faham tentang nasyid? Tentang muzik? Tentang seni? Tentang lirik lagu? Tentang sastera? Tentang kejuruteraan bunyi? Dan juga tentang pembikinan video & asas filem (jika ada visual, khususnya untuk siaran di TV)?

Nasyid bukan sekadar menyebut nama "Tuhan", "Islam" dan "Muhammad". Bukan keasyikan tentang itu semua. Jika kita hendak unsur-unsur itu, lebih baik kita baca al-Qur'an!

Nasyid ini satu cabang kesenian (lebih tepat, hiburan) yang memerlukan sejumlah besar pengetahuan (sebagai pendengar) untuk menjadikan kita seorang penghayat muzik yang baik.

Semuanya (ilmu) itu tidak dibekalkan oleh Islam, atau teori Islam klasik sekali pun! Malah, kita terpaksa bergantung banyak pada pengetahuan di luar gerakan Islam, di luar usrah .... kita terpaksa bergantung banyak pada orang Barat, orang kafir, manusia yang lagha, yang maksiat, yang entah apa-apa lagi labelnya...

>>> Sekarang, kembali kepada persoalan Sdr tentang usrah dan falsafah. Jadi, pada hemat saya, bukan buku, bukan falsafah yang kita hendak tekankan walau saya tidak nafi bidang ini menarik dan boleh menolong mengasah akal kita.

Yang kita hendak bina, sama ada berusrah atau tidak berusrah, manusia yang berfikiran terbuka, manusia yang sayang pada manusia dan kemanusiaan, manusia yang yang ada hati perut, yang kasih pada warisan kebudayaan manusia yang besar/panjang, yang membela golongan tertindas, yang mengikuti perkembangan ilmu pengetahuan, yang memproses (berfikir kembali, bertanya, mempersoal semula) maklumat-maklumat yang diperolehinya, yang ingin berfikir secara asli (original thinker), yang ingin menjadi pengeluar (producer of ideas) bukan sahaja consumer of ideas, manusia yang menulis (penulisan sebagai penerokaan fikiran), yang hidup bersama semangat dan gelora zamannya, yang tidak menjadi pak turut kepada kumpulannya, yang tidak percaya pada ungkapan, kata-kata dan slogan-slogan indah yang ....

Maksudnya, Sdr harus sedar apa maknanya "compartmentalization of knowledge", "multidisciplinary approach", "systems thinking", "open society", "chaos theory" dan seumpamanya ....

Maksud saya ialah ... bidang pengkhususan yang Sdr ambil itu jatuhnya dalam bidang sains & kejuruteraan. Ada satu lagi bidang disebut sastera dan sains sosial. Jadi, pergilah mencari buku tentang perdebatan isu ini, misalnya:

1. C. P. Snow, The Two Cultures
2. Thomas S. Kuhn, The Structure of Scientific Revolutions
3. Friedrich A Hayek, The Counter-revolution of Science
4. Seyyed Hossein Nasr, Traditional Islam in the Modern World
5. Seyyed Hossein Nasr, Science and Civilization in Islam
6. Murray Edelman, The Politics of Misinformation
7. Gabriel García Márquez, Living to Tell the Tale
8. Jean Paul Sartre, The Age of Reason
9. Abdullahi Ahmed An-Na'im, Toward an Islamic Reformation: Civil Liberties, Human Rights and International Law (terjemahan: Menuju Reformasi Perundangan Islam, terbitan MEGC)
10. Robert W Hefner, Civil Islam: Muslims and Democratization in Indonesia
11. Clifford Geertz, The Interpretation of Culture
12. Haruki Murakami, Sputnik Sweetheart
13. Albert Camus, The Stranger (juga disebut The Outsider)
14. George Orwell, Down and Out in Paris and London (edisi Internet)
15. John Stuart Mill, On Liberty (edisi Internet)

Jangan salah faham. Buku-buku ini bukan buku falsafah yang berbelit-belit dan sukar difahami. Saya senaraikan ini buku yang mudah difahami, malah sangat menarik. Buku-buku nombor 8, 12 dan 13 itu buku sastera (novel yang dikarang oleh tokoh besar dan dikenali ramai). Buku nombor 7 dan 14 pula autobiografi dua sasterawan terkenal dunia.

Buku tentang sains (sebab melibatkan bidang pengkhususan Sdr) nombor 1, 2, 3, dan 5 dalam pelbagai tradisi. Mulakan dengan buku nombor 1 yang menceritakan bagaimana krisis muncul di Barat (dan dunia) akibat terpisahnya aliran sains dan sastera dan bagaimana sebenarnya kedua-dua bidang tersebut (sains dan sastera) sama-sama maha penting kepada seseorang manusia dan juga peradaban manusia.

Buku nombor 4, 9 dan 10 mengupas pergolakan menghayati dan menegakkan Islam pada zaman moden ini. Abdullahi An-Na'im (buku 9) sering dituduh mewakili "Islam Liberal" tetapi sebetulnya dia cuba bergelut memahami Syariah dari perspektif perundangan semasa dan antarabangsa.

Kita tidak perlu bersetuju, kita layak mengkritiknya tetapi yang maha penting, kita BACA, telaah dan fahami dulu. Kemudian, terserahlah pada Sdr (dan rakan-rakan usrah) untuk menolaknya ... jika tidak bersetuju.

Buku nombor 6 tentang bagaimana negara (kerajaan) mengawal otak rakyatnya (banyak kes merujuk situasi di Amerika Syarikat); buku nombor 11 tentang kebudayaan dan tafsirannya yang dikarang oleh tokoh antropologi terkenal AS (kajian banyak di Indonesia dan Afrika Utara) dan nombor 15, huraian pemikir klasik fahaman liberalisme dalam konteks kebebasan bersuara. Sekurang-kurangnya Sdr dan teman-teman usrah boleh mengkritik di mana lemah dan cacatnya fahaman liberalisme di sisi Islam.

Saya tidak cadangkan buku-buku ini sebagai "teks kajian" dalam usrah Sdr. Pertama-pertamanya, Sdr sendiri kena baca dan kemudian ceritakan pengalaman membaca kepada teman-teman yang lain.

>>> Namun, pokok pangkalnya, tetap juga pada fikiran terbuka dan cuba fahami orang lain. Jika rakan-rakan usrah Sdr ada sifat ini, insya Allah, selamat dan majulah fikiran usrah anda.

Selamat Maju Jaya.

Salam Reformasi,
Fathi Aris Omar
http://patahbalek.blogspot.com/

2 comments:

Dr Nizam Zakaria said...

reply saudara pada saya "Sebab apa? Sebab kita sedang belayar ke terra incognito. Sebab orang Islam malas baca buku, sebab usrah ditukarkan konsep untuk melemahkan fikiran. Sebab umat Islam hidup bersama umat-umat lain, sebab Islam itu rahmat untuk manusia.

Sebab kenyataan ini: "kalau menilai tindakan seorang pakar bedah dari kaca-mata seorang guru tari, sudah pasti banyak yang buruk dari yang elok nak dikomen.." dilontarkan oleh seorang bukan Islam.

Jika Nabi hidup, pasti Muhammad menangis melihat ada orang menulis seumpama itu!

Katakanlah: Hanya jauhari yang mengenal manikam. "

maaf, mungkin kerana kekurangan saya, saya kurang faham akan kenyataan saudara dlm reply tersebut. kenapa mengatakan kenyataan itu dilontarkan oleh bukan islam? itu kenyataan saya. dan saya alhamdulillah setakat ini masih islam dan mohon Allah stabatkan.

sekadar memberi pandangan.

akh.ihsanist@yahoo.com

Anonymous said...

Sebab orang Islam tidak mungkin bercakap begitu. faomar@yahoo.com