Setelah lama tidak mengulang semak artikel sendiri, semalam saya terbaca artikel lama ini -- ia mengulas kepura-puraan orang muda untuk berdiskusi sesuatu tajuk secara "rasmi" dan "rutin".
Saya sebut "kepura-puraan" kerana subjek yang ditolak untuk dijadikan diskusi tidak ditelaah, tidak ditekuni, tidak menimbulkan resah yang mendalam. Ia tidak melekat di dasar jiwa, hanya diluahkan di hujung lidah, ibarat doa tanpa basahnya iman, barangkali. Mungkinkah usrah-usrah kita mengalami nasib yang sama. Maka, ia tidak melimpahkan apa-apa yang cerah dan jernih.
Usrah jadi ‘rutin rasmi’, maka ia gagal?
Oleh FATHI ARIS OMAR
Beberapa kelompok anak muda, sebahagian besarnya usia 20-an, yang condong kepada politik pembangkang pernah beberapa kali berkumpul. Tujuannya satu: berwacana “secara rasmi” untuk mengungkap beberapa isu, antaranya ciri-ciri anak muda negara kita.
Kegiatan anak muda ini bertentangan dengan kehidupan intelektual di negara kita yang sering dilihat “lesu”. Sebilangan mereka ini juga sedar kegiatan “intelektual” semakin diragui dan dipandang sinis. Jelas sekali kegiatan mereka itu masih cuba menongkah arus.
Ada antara mereka yang geli melihat orang muda sebaya mereka, atau yang lebih tua atau tokoh-tokoh, yang dikatakan berlagak “intelek” dengan beberapa ungkapan, kutipan buku atau tema wacana. Itu kelompok pseudo-intellectuals, kata mereka.
Bulan-bulan berikutnya kelompok anak muda ini akan berwacana lagi. Bermacam-macam tajuk, antaranya minggu lalu mereka membincangkan impian masa negara yang dihajati (nation of intent), begitu saya dimaklumkan. Bagaimanapun saya agak ragu-ragu keupayaan mereka berwacana.
Dunia kita, maksud saya lingkungan rutin dan norma hidup negara ini, tidak memungkinkan anak-anak muda ini berwacana. Mereka boleh bertukar-tukar pandangan, malah “bertukar-tukar hati”, tetapi bukan wacana.
Diskusi dan sumbang saran, ya. Barangkali mereka memang tidak berniat untuk berwacana (hanya saya yang menyebut begitu) jika berbuat demikian terlalu ketat syarat-syaratnya dan membebankan.
Kenyataan ini bukan dengan niat memperlekeh anak muda ini, tanpa mengira kelompok. Malah mereka yang sudah tidak digelar anak muda juga tidak berupaya berwacana jika tidak memenuhi beberapa “pra-syarat” lazim.
Yang mengganggu fikiran saya, seperti sering diberitahu peserta-pesertanya, tentang kerasmian acara itu sendiri -- bilik empat segi dan berhawa dingin. Walau tidak ada salahnya ruang fizikal itu untuk mengalirkan idea tetapi dengan latar rutin yang saya sebutkan di atas, ruang ini mengongkong wacana.
Wacana ini, atau sebut sahaja perbincangan, hanya satu bentuk sembang-sembang yang lebih tersusun acaranya tetapi belum tentu tersusun ideanya, khususnya sejenis idea yang bersifat mencerahkan minda atau datang dari keresahan batin yang mendalam.
Saya tidak fikir proses ini berlaku. Bukan sahaja kelompok anak muda ini tetapi kelompok-kelompok lain juga, sama ada politik, sastera, seni budaya, akademik atau juga teknologi.
Keresahan yang membatini seseorang sehingga berulang-ulang disembang, dibahas sesama teman-teman seangkatan, dikembang dan dibantah ibarat menempa sesuatu bentuk bahan logam yang bernilai seni. Kadang-kadang terpacul dalam akhbar. Proses ini jarang berlaku di kalangan anak muda itu.
Boleh jadi kita tidak sabar menanggung keresahan. Boleh jadi keresahan itu tidak bersambut oleh teman-teman. Jadi ia hanya penderaan minda seorang diri. Tidak ada input pula untuk menjolok keresahan demi keresahan, misalnya dengan membaca bahan-bahan yang baik untuk menggali jawapan yang berlapis-lapis pula.
Menekuni pembacaan, selain satu penderitaan sengaja yang tersendiri, juga satu bentuk tanggungan wang yang besar. Tidak ramai anak muda yang waras (serta “ingin berjaya seperti orang lain”) yang sedia memikul proses gila-gila ini.
Tuntutan nafkah zahir serta meraikan simbol-simbol fesyen semasa juga menjadi penghalang untuk memusatkan idea. Apatah lagi kehidupan kita yang menuntut kerjaya yang tidak meraikan sangat ilmu atau pemikiran mendalam.
Kita boleh sahaja hidup dan bekerjaya seperti orang lain walau tidak menambahkan kualiti minda selain yang dikutip ketika di kampus. Ukuran kejayaan tidak diasaskan dari sudut ini -- idea.
Malah ada semacam ketakutan serta kesinisan tersendiri tentang idea, jenis yang gila-gila, pelik atau baru. Ukuran kejayaan pada mata umum terletak pada gelar-gelar, jawatan, organisasi pekerjaan (dan tentunya angka gaji), simbol-simbol lahiriah seperti pakaian, rumah dan kenderaan, malah restoran serta lokasi berhibur serta makan angin.
Bangsa kita ini memang jenis yang “kurang sabar” dari sisi ini. Kita cepat menuntut hasil, ingin segera melihat gerak kerja (kononnya itu action), atau menghitung untung-rugi material.
Di kalangan aktivis, walaupun kita menanggung sebeban idealisme, ideologi atau pergulatan perjuangan tertentu, tetapi masih tidak dapat membebaskan diri kita daripada lingkungan rutin atau norma hidup arus perdana ini.
Di kalangan aktivis, sembang kedai kopi menjadi taboo atau diraikan sebelah mata, kononnya bertaraf rendah dan membazir masa. Sembang kedai kopi juga suatu waktu dulu disinonimkan dengan aktiviti melepak remaja yang pernah diangkat sebagai “gejala sosial” yang dimusuhi negara ini.
Oleh itu, mereka kekok menghabiskan masa di kedai kopi, berwacana, berdiskusi atau bermesyuarat yang dilihat sebagai aktiviti-aktiviti serius. Ini semua harus sahaja di dalam bilik.
Kedai kopi tempat untuk membuang lelah, mengalas perut, sambil mengutuk Perdana Menteri!
Ertinya, kedai kopi bukan tempat minda serius bertemu, bukan tempat membaca kitab ilmiah yang tebal-tebal atau mengambil keputusan politik yang besar-besar.
Aktivis memang melazimi kedai kopi tetapi bukan medan idea bersilang, bertingkah dan riuh. Ada, tetapi tidak ramai aktivis muda berbuat demikian. Lalu, sebagai jalan pintasnya, adakan sahaja diskusi walau ideanya separa masak di sebuah bilik.
Nah, di sini bermula kegagalan wacana anak muda. Memang kita boleh gelar pertemuan itu diskusi atau sumbang saran atau mesyuarat, tetapi kualiti penghujahan tanpa perenungan yang mendalam menghasilkan buah-buah pandangan yang tohor-tohor sahaja. Jurang pengalaman anak muda menambahkan lagi kesan buruk persembahan idea.
Tanpa latar pembacaan yang pelbagai, tanpa “peresahan” (maksudnya, proses keresahan intrinsik), tanpa medan perkongsian resah yang semula jadi dan rutin (wacana kedai kopi), ditambah tuntutan untuk memenuhi norma hidup arus perdana (sebagai pelajar, penganggur atau pegawai), wacana segera (seperti mee?) di bilik-bilik tertutup dengan tajuk tertentu yang dipilih (bukan diresahkan selama ini) yang dikendalikan begitu rasmi serta kaku tidak banyak menolong proses minda.
Ia tidak ubah proses mendengar di dewan kuliah, ketika khutbah Jumaat atau ceramah politik pembangkang. Ramai orang cerdik-cerdik serta berpelajaran tinggi tidak membentuk hujah tersendiri, malah menyalin bulat-bulat pandangan politik yang didengar melalui ceramah umum atau rencana tabloid, walau disampaikan penuh retorik, superficial yang asalnya ditujukan kepada khalayak biasa.
Apabila berkongsi pandangan dalam isu-isu semasa, lulusan universiti ini nampaknya tidak lebih baik daripada kualiti biasa seorang buruh atau petani. Saya tidak nampak alasan-alasan yang lebih baik daripada apa yang saya cuba gambarkan di atas.
Memang kita boleh salahkan sikap kerajaan yang tidak begitu menggalakkan pertumbuhan idea, perkongsian maklumat, merancakkan debat melalui media atau pendidikan rasmi.
Faktor ini memang sangat benar, dan kuat pengaruhnya, tetapi anak-anak muda yang condong kepada pembangkang ini telah berjaya melarikan diri daripada lingkaran bebal ini. Sebab itu, kesedaran sendiri telah menolong mereka menyertai lingkungan anak-anak muda yang sedang berwacana ini.
Bagaimanapun, jalan pintas itu tidak berjaya untuk merancakkan kegiatan berfikir. Ia harus melalui pengamatan, perenungan dan peresahan yang secukupnya. Kemudian anak muda berdiskusi, di mana-mana tidak menjadi isu, baik di bilik empat segi atau di meja warung. Peresahan itu nanti akan menimbulkan kerasaan yang sama.
Kerasaan untuk tidak sanggup menampung keresahan batin lebih lama. Lalu, kita pun bertemu, berdiskusi, berdebat dan berwacana. Idea akan sangat rancak tingkah-meningkah, seolah-olah kerinduan lama yang baru terubat. Dalamnya idea untuk seorang muda harus seperti dalamnya cinta.
Asalnya bertajuk “Anak Muda Tidak Mungkin Berwacana”, diterbitkan di Malaysiakini.com (3 Oktober 2002), kemudian diulang terbit dalam Patah Balek: Catatan Terpenting Reformasi, hal. 46-49
Thursday, May 17, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
7 comments:
Buat teman-teman yang berminat),
Di sini saya turunkan dua artikel yang menarik, bukan untuk dibaca, tetapi untuk direnung-renung, untuk difikir dalam-dalam tentang keadaan di negara kita sendiri.
Khususnya hubungan antara kaum, dan antara agama:
[1] The Global Ideology of Fear oleh Tariq Ramadan dalam New Perspectives Quarterly (Vol 23 # 1, Winter 2006)
http://www.digitalnpq.org/archive/2006_winter/ramadan.html
dan juga [2] Fears for Democracy in India oleh Martha C. Nussbaum dalam Chronicle Review (18 Mei 2007)
http://chronicle.com/temp/reprint.php?id=t15b1l92nf46jb6sq8b82dpsct9f9003
...dan kebanyakan 'wacana'/perbincangan itu habis di dalam bilik empat persegi itulah.
Komen utk diri sendiri: Mahu keluar tetapi tidak tahu bagaimana.
Tidak tahu bagaimana mahu keluar?
Cari [1] jalan apakah yang dapat menghubungkan antara teori, isi ilmu dan perbahasan dalam kumpulan diskusi dengan persekitaran negara/global/umat Islam dan [2] fikirkan/kerjakan apakah yang kita (Sdri, rakan2) boleh lakukan untuk menjadikan wacana menjadi "praxis" berdasarkan minat (cinta) yang mendalam, keperluan kerjaya Sdri dan juga minat rakan2.
Maksud saya, jangan jadikan tema2 diskusi sekadar "ruang sembang" yang jauh daripada diri sendiri; ambillah tanggungjawab memikul amanah untuk memperbaiki (reformasi) masyarakat dengan slogan "baikilah diri sendiri, dan serulah orang lain."
Dan, bersifat terbuka, belajar daripada kekuatan orang lain, termasuk bukan Islam, dan berusahalah untuk mencapai tingkat tinggi (cemerlang) dalam bidang pemikiran, keilmuan dan kerjaya ... dan seterusnya berbuat baiklah sesama manusia.
Begitulah ringkasnya....
[Usrah, diskusi, sembang, forum] sekadar jalan pintas yang tidak berjaya untuk merancakkan kegiatan berfikir.
Usrah [wacana] harus melalui pengamatan, perenungan dan peresahan yang secukupnya.
Kemudian anak muda berdiskusi, di mana-mana tidak menjadi isu, baik di bilik empat segi atau di meja warung.
Peresahan [yakni: tenaga di dalam diri untuk berjuang mengubah masyarakat] itu nanti akan menimbulkan kerasaan yang sama.
Kerasaan untuk tidak sanggup menampung keresahan batin [yakni: prihatin pada nasib bangsa/ummah] lebih lama.
Lalu, kita pun bertemu, berdiskusi, berdebat dan berwacana. Idea akan sangat rancak tingkah-meningkah, seolah-olah kerinduan lama yang baru terubat.
Dalamnya idea untuk seorang muda harus seperti dalamnya cinta.
Maksudnya lagi, kita mesti sanggup berkorban, bekerja keras.
Kalau orang baca 3 buku, kita kena baca 30 buku (pelbagai bidang ---> biar fikiran luas, lapang); orang tidur banyak, kita tidur sedikit; orang jadi "katak bawah tempurung", kita kena bergaul dengan macam2 kelompok; orang cakap benda yang sama, yang sudah kita ketahui, kita cakap dengan sisi-sisi pandang yang baru, yang disemak semula (bukan stereotype, cliche).
Majukan diri, jadilah manusia cemerlang dan berbuat baik, simpatilah pada sesama manusia. Tolonglah bangsa ini menjadi bangsa yang tinggi & bermaruah di pentas globalisasi.
Apakah tidak mungkin? Mungkin ... jalannya sudah luas terbentang, mahu lalu atau tidak. Itu sahaja pilihannya... kerana ada sesetengah orang hanya mahu jadi "macam orang lain."
Kami di Komunite Seni Jalan Telawi tidak mahu jadi seperti orang lain!
Fathi Aris Omar, faomar@yahoo.com
saya just nk minta komen saudara fathi:
bagaimana nk mengatasi masalah immature sepertimana yg disebut oleh Kant. Takut untuk berfikir dan menggunakan akan fikiran. Sy lihat fenomena ini terjadi di mana2, samada dlm kelas2 di sekolah, usrah2, atau seminar2 berperingkat kebgsaan. Bila tiba sessi soal jawab atau beri komen semua diam sepi membisu. Adakah ini sudah jadi budaya disebabkan genetik org kita ataupun masih mampu diubah.
Post a Comment