Seorang teman yang belajar di luar negara, melalui e-mel, menyampaikan beberapa pertanyaan seperti berikut. Saya berjanji menjawabnya melalui e-mel atau menghuraikannya di sini. Isi e-melnya, selepas disunting, seperti di bawah:
Assalamu 'alaikum,
Ada beberapa persoalan yang timbul daripada tulisan dan idea saudara. Pertama, apakah saudara hanya menekankan aspek pembangunan intelek dan wacana pemikiran? Bagaimana unsur tarbiyyah boleh diserapkan dalam kumpulan atau usrah yang saudara cadangkan?
Bagi saya masalah rasuah, kezaliman gejala sosial semuanya lahir akibat tiadanya kawalan nafsu dan pedoman agama yang utuh.
Saya akui kurang mahir meneliti tulisan Syed Hussein Alatas & Syed Naquib al-Attas. Tetapi ada rakan yang mempersoalkan kenapa saudara lebih banyak merujuk tulisan Syed Hussein berbanding Syed Naquib?
Sekian terima kasih.
[Jawapan (atau ulasan?) saya seperti berikut:]
Serba salah saya ingin menjawab pertanyaan ini. Macam-macam sebab timbul yang mendorong rasa serba salah itu. Juga, saya tidak tahu apakah wajar saya menjawab dengan serius, jujur atau menjawab dengan sinis, provokatif.
Setiap kali muncul persoalan seumpama ini, daripada mereka yang terlibat dengan usrah, saya hanya bertambah yakin bahawa "usrah tidak memberi sumbangan apa-apa". Ia menjadikan hujah dan kritikan saya terhadap usrah bertambah relevan, bahawa "usrah melemahkan fikiran dan keilmuan anggota-anggotanya."
Apa yang dinamakan "tarbiyyah" atau lebih canggih disebut "tarbiyyah ruhiyyah" itu sekadar madat dalam perayaan hedonis! Ia mencipta khayalan, tetapi bezanya ia dibelit dengan kalimat-kalimat ketuhanan, ibarat jampi yang memukau kesedaran.
Ia mengingatkan saya pada The Dreamers, filem Bernardo Bertolucci yang mengisahkan keasyikan tiga remaja dalam "usrah" mereka dengan latar pergolakan serta resah anak muda dalam "revolusi" Mei 1968.
[Awas: Filem ini, dengan adegan seks yang eksplisit, diharamkan di Malaysia. Jadi di sini saya sertakan poster filemnya sahaja.]
Sdr, saya tidak menemukan kata-kata yang mudah, ringkas dan bersahaja untuk meluahkan fikiran. Pertanyaan Sdr itu menjadikan saya kelu, tangan pun terpegun di hujung papan kekunci. Susun atur kalimat menjadi tidak keruan.
Jadi, saya hanya menyebut isu ini secara metafora, dalam perlambangan filem Dreamers -- seolah-olah tarbiyyah usrah itu "madat dalam perayaan hedonis" tetapi Sdr mungkin tidak menyedarinya, apatah lagi bersetuju dengannya.
Selepas tiga remaja itu melepaskan resah hedonis (dalam maksud yang luas, bukan sekadar seks dan ganja tetapi lebih tepat "dunia kecil mereka sahaja", termasuk kegilaan pada dunia filem, watak-watak dan judul-judulnya), mereka akhirnya tersedar daripada khayalan hedonisme usrah itu apabila melihat perarakan dan amuk golongan muda (selalunya aliran kiri) dalam peristiwa penting abad ke-20, "Revolusi Mei '68".
[ii]
Anak muda itu dari benua yang jauh, dari Amerika Syarikat dan belayar ke Paris -- sebuah kota yang romantis (sekali lagi, dengan maksudnya yang luas). Dia kemudiannya bertemu dengan sepasang adik-beradik di sebuah demonstrasi, lalu dia melepaskan ikatan tangan gadis itu, dan juga ikatan kesuciannya. Dia menemui dunia baru di rumah gadis itu, bersama abangnya, lalu mereka hangat, lelah dan basah bersama -- maksudnya berlari-lari sewaktu hujan mencurah-curah.
[iii]
Jika ada buku, usrah tidaklah menjadi dunia sempit khayalan. Tentunya tiga remaja itu lebih mudah menamatkan hedonisme khayalan dan kemudian mencari kitab al-manzurah yang terbentang luas di dunia ini.
Usrah gagal menjadi microcosm dunia, kitab al-manzurah itu; usrah sekadar microcosm dunia macrocosm filem The Dreamers. Sebab itu buku-buku, wacana pemikiran, yang rentas bidang (cross-disciplinary) dan jamak bidang (multi-disciplinary) menjadi prasyarat untuk membuka fikiran manusia, menjadikan kita well-rounded personalities.
Usrah tidak boleh mencipta well-rounded personalities sebab rujukannya terbatas; tarbiyyah tidak mampu sebab rujukan akalnya terbatas, maka "keselesaan ruh" menjadi madat yang hanya memotivasikan manusia usrah untuk menjadi baik, bukan pejuang yang tabah, geliga dan pintar aktivisme.
Usrah, naqib dan naqibahnya, teks rujukan usrah dan ambience usrah tidak tentu hala, tidak sedar diri di tapak manakah ia hidup, dan bagaimanakah ia seharusnya mengikis kebodohan dan kecelakaan akibat dunia modernity, dan post-modernity dan juga kecelakaan dunia pendidikan negara kita dan senario sosio-politik/sosio-budaya Malaysia.
Begitulah maksud saya, dalam jawaban kepada seorang lagi pelajar dari luar negara, Mereformasi usrah Melayu (13 Mei). Sebahagian lagi jawapan saya mungkin boleh dirujuk di sini Kegagalan mentor agama (9 Mei) dan juga Usrah membodohkan, ahli tidak berfikir? (23 April).
[iv]
Saya sedar, dan sepenuhnya faham, bahawa Sdr tidak faham apakah maksud jawapan saya yang sebenarnya. Saya memang tidak berniat untuk memberi "jawapan" seumpama sekeping wahyu yang bernas dicampakkan kepada fikiran Sdr.
Saya hanya berminat "mencetuskan" beberapa perkara dalam fikiran Sdr agar Sdr, dan teman-teman usrah Sdr berfikir sendiri ... Sdr tidak akan mendapat manfaatnya sehinggalah ketiga-tiga artikel yang baru sahaja saya sebut di atas dibaca dan diulang baca, dibahas dan diulang bahas, selama beberapa kali.
Sdr teruskanlah berusrah. Mungkin ada banyak kebaikannya kepada diri Sdr. Tetapi ... harapan saya, Sdr membaca senarai buku yang saya sertakan tadi di sini Mereformasi usrah Melayu. Untuk Sdr dan usrah Sdr, saya tambah satu lagi buku penting:
+ Edward O. Wilson, Consilience: The Unity of Knowledge.
Selepas membaca beberapa buku yang ada dalam senarai ini, cubalah membandingkan diri Sdr, your state of mind now, dengan diri Sdr yang "baru" selepas membacanya.
Saya tidak mampu menjawabnya, anggap sahaja pembacaan buku-buku itu perjalanan rohani Sdr, sejenis tarbiyyah aqliyyah dan ruhiyyah yang baru. Yang enggan diberitahu oleh usrah Sdr tetapi dipesan-pesan oleh saya, seorang pengkritik usrah.
Adakah Sdr pernah membaca buku saya Patah Balek: Catatan Terpenting Reformasi?
Dan saya ingin bertanya, apakah usrah mencakupi luasnya, dan dalamnya, persoalan yang dibangkitkan dalam buku ini? Jika usrah tidak pernah bersedia meneroka ke wilayah persoalan ini, jadi Islam Sdr itu sebenarnya untuk apa? Iman Sdr itu apa? Iman palsu?
[v]
Maafkan saya, Sdr, nada saya ini kelihatannya sangat angkuh, sekali gus penuh enigma dan simbolisme. Tiada jawapan konkrit untuk Sdr.
Maaf, anggap sahaja jawapan saya ini satu pelawaan untuk Sdr terus berfikir ....
Sunday, May 27, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 comments:
Assalamualaikum wrh bkth,
jangan kita dibelenggu oleh pemikiran yang dicelup dr pemikiran Minda dan otak2..lantaran kita sendiri tahu,otak dan pemikiran kita ini terhad..tidak sempurna,
Kesempurnaan itu milik yang Maha Esa.
Yakni diturunkan kita Al Quran dan As Sunnah itu sebagai rujukan...
Untuk mengimbangi pemikiran akal logikal kita serta membuahkan banyak cita rasa...
Syukrans,
Setiap kali muncul persoalan seumpama ini, daripada mereka yang terlibat dengan usrah, saya hanya bertambah yakin bahawa "usrah tidak memberi sumbangan apa-apa". Ia menjadikan hujah dan kritikan saya terhadap usrah bertambah relevan, bahawa "usrah melemahkan fikiran dan keilmuan anggota-anggotanya."
Apa yang dinamakan "tarbiyyah" atau lebih canggih disebut "tarbiyyah ruhiyyah" itu sekadar madat dalam perayaan hedonis!
saudara fathi, secara prinsipnya saya bersetuju perlunya dihangatkan wacana pemikiran dalam usrah. Bukan hanya setakat perbincangan hukum dan ibadat semata mata...Tetapi soalnya bagaimana perbincangan 'kritis' dan 'idea besar' itu mendekatkan diri dengan tuhan, membentuk akhlak, melahirkan jiwa yg lebih patuh dan berdisiplin?
Baca artikel-artikel di blog ini yang bertajuk:
+ Usrah tidak mendisiplinkan fikiran,
+ Taktik kepungan minda ummah,
+ Yusuf al-Qardhawi & malas membaca, dan,
+ Usrah, akal & iman.
Semoga sesuatu yang tersurat atau tersirat tentang persoalan Sdr ini.
Terima kasih faomar@yahoo.com
Post a Comment