Tuesday, May 22, 2007

Usrah, semangat zaman & Pencerahan

Artikel ini tentang kebebasan kreatif, kebebasan bersuara untuk sasterawan, seniman dan budayawan, dalam hubungannya dengan kekangan politik.

Saya tidak pasti sama ada mereka yang mengikuti usrah sedar dan prihatin tentang isu ini atau tidak. Tetapi di kalangan teman-teman Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT), isu ini menjadi teras pemikiran dan penerokaan idealisme.

Latar belakang artikel: Asalnya berjudul "Ruang awam untuk sasterawan" (Mingguan Malaysia, 6 Ogos 2003) dan kemudian disenarai-pendekkan untuk pencalonan Hadiah Sastera Utusan 2003. Ia menjawab laporan akhbar tentang forum kebebasan kreatif.


Usrah, semangat zaman & Pencerahan
Oleh FATHI ARIS OMAR

Tulisan Luqman Hakim bertajuk "Sejauh Mana Akrabnya Politik dan Sastera" (Mingguan Malaysia, 18 Mei) mengutip pandangan saya tentang kemestian ruang awam ketika dijemput berdiskusi di Rumah PENA, April lalu.

Saya agak rimas dengan istilah seakan-akan ilusi atau ideal utopia dalam rencana yang baik itu.
Tulisan itu dan usaha Jawatankuasa Penulis Muda PENA pada dasarnya menarik apabila difikir-fikirkan arah sebenarnya serta kedudukan seniman-sasterawan dalam konteks politik semasa.

Haruskah mereka berpihak dan berlagak seperti seorang ahli politik? Wajarkah seniman-sasterawan berdiam diri seperti melukut di tepi gantang? Atau, bolehkah mereka jadi alat atau budak suruhan parti politik?

Saya ingin mengimbas kembali kepada awal Mei 1964, tiba-tiba sejumlah sasterawan dan budayawan Indonesia menjadi musuh negara. Semata-mata menyokong satu dokumen wajar lagi waras. Itu zaman revolusi, zaman Soekarnoisme berasa diri di puncak kekuasaan.
Lembaga Kebudayaan Rakyat (Lekra), yang rapat dengan kekuasaan presiden, mengganyang kumpulan Manikebu yang mengeluarkan dokumen tersebut di majalah Sastra (September 1963).

Dokumen tiga muka surat itu, disertai rencana bertajuk "Sejarah Lahirnya Manifes Kebudayaan".

Dokumen dan rencana itu hanya mempunyai satu idea yang ringkas dan berpada-pada. Idea itu, cerita Goenawan Mohamad dalam Eksotopi: Tentang Kekuasaan, Tubuh dan Identitas (2002), kreativiti dalam sejarahnya menolak belenggu.

Manikebu muncul daripada keadaan politik yang terbentuk akibat pemujaan terhadap Manifesto Politik (Manipol) Soekarno.

Manipol asalnya ucapan presiden pada 1958 dan dijadikan kempen pembasuhan minda yang dipaksa kepada seluruh rakyat, termasuk sasterawan, seniman dan wartawan.

Dalam tempoh ini juga, Indonesia sedang menggerakkan kempen konfrontasi, ganyang Malaysia! Seni dan sastera terpaksa menggunakan landas Manipol sebagai ruang tunggal untuk bersuara.

Sesiapa yang gagal berbahasa ganyang ala Soekarnoisme, dan tidak menyeru kesatuan rakyat, dianggap belot.

Penulis dan budayawan waktu itu menemui ruang luahan kreatif yang sukar. Ruang pun kian terbatas untuk pembentukan konsep yang menggunakan cara lain, kata Goenawan. Pada akhirnya, tidak banyak orang yang berpidato atau menulis tanpa mengutip bahan dan bahasa indoktrinasi Manipol itu.

Ketika zaman sempit inilah, Manikebu muncul. Zaman yang disebut Goenawan terasa menjadi kakunya rentangan ekspresi bahasa Indonesia bagi seorang penulis dan seniman. Walau sangat sederhana, dokumen Manikebu dianggap mengancam kekuasaan.

Padahal, seperti dicerita kembali dalam Eksotopi, tujuan utama dokumen itu adalah untuk memperoleh ruang yang lebih longgar bagi ekspresi kesenian yang mandiri dan independen dari desakan politik pemerintah dan pelbagai tatacara revolusioner tahun 1960-an awal.

Naskhah bersejarah ini menuntut pembebasan kaum karyawan daripada tekanan atau eksploitasi politik, termasuk projek ganyang Malaysia!, walaupun datang dari politik bangsanya sendiri (baca: Presiden Soekarno).

Ruang awam memakai semangat kreativiti tidak harus dibelenggu seperti ucap Manikebu. Idea ini dipinjam daripada olahan Jurgen Habermas dalam The Structural Transformation of the Public Sphere (1989).

Ruang ini telah menjadi tema perbahasan besar di arena sejagat sejak beberapa dekad lalu, khususnya 1990-an. Habermas menganjurkan kewujudan ruang kepada golongan bukan politik misalnya sasterawan, seniman dan wartawan daripada campur tangan atau gangguan melampau penguasa dan pemodal.

Pandangan tentang ruang ini dan kekalutan politik semasa telah dihuraikan lebih awal dalam buku kecil saya, Seni Sastera Mencari Arah (2003) dan rencana "Public intellectuals and the poverty of imagination" dalam edisi terbaru majalah Aliran Monthly.

Rencana saya ini mengkritik sasterawan-budayawan yang berdiri atas pentas politik tetapi gagal membentuk ruang independen yang kritis pada kekuasaan.

Hujah saya, keadaan yang ada kini menyebabkan banyak isu masyarakat tidak dibincangkan akibat takut kuasa. Ramai sasterawan-seniman bimbang jadi mangsa.

Sasterawan tidak lagi bersuara untuk kebenaran dan keadilan, tetapi sebagai bidak-bidak catur kekuasaan, seperti nama-nama yang disebut dalam tulisan Luqman.

Saya bimbang sastera dan seni menjadi tidak jernih atau tidak lagi waras tetapi tukang pukul untuk memenangkan parti sendiri.

Saya cukup risau penindasan yang berlaku pada aktivis Manikebu pada zaman Soekarno dan kemudiannya tertimpa ke atas pemuka Lekra apabila wujud peralihan kuasa.

Orde baru atau lama di republik itu sama-sama menyekat ruang seniman, sasterawan dan wartawan Indonesia seperti renungan WS Rendra dalam, Penyair dan Kritik Sosial (2001).
Zaman buruk ini sedang menguasai Amerika Syarikat, selepas 11 September.

Kebebasan akhbar, kebebasan akademik dan kebebasan sivil seolah-olah tidak dikehendaki.
Zaman yang melahirkan imej CNN dalam perang Iraq baru-baru ini yang kita namakan laporan media yang tidak adil. Zaman yang membolehkan Stalin menghumban sasterawan besar Rusia, Maxim Gorky atau dua tokoh dramatis, Meyerholt dan Vakhtangov.

Setiap zaman memang ada semangat dan gilanya sendiri. Kita di sini terjelepok dalam zaman Pramoedya Ananta Toer dikirim ke Pulau Buru.

Zaman yang menggila boleh dibatasi jika wujud ruang awam yang dihormati bersama; penguasa dan pemodal.

Ruang yang membolehkan kita waras-wajar dalam berwacana kreatif, termasuk terhadap kekuasaan. Zaman suara selesa dikumandangkan oleh penulis dan seniman.

Sama seperti kewarasan-kewajaran yang dituntut Manikebu ketika berdepan dengan asakan melulu Manipol, Lekra dan Soekarnoisme. Waktu itu, gaya penulisan cerpen boleh sahaja dianggap menentang Soekarno dan sejumlah akhbar lantas diharamkan.

Oleh itu, selain soal ruang menyuap mulut (istilah Luqman), ruang awam seperti dihujahkan saya adalah satu tuntutan adil, lagi sederhana. Bukan ilusi atau utopia!

Ia kelihatan khayalan pada masa kini kerana proses politik kita tidak jernih, demokrasi kita sakit, semangat kolektivisme kita cetek, hak asasi dan kebebasan individu tunduk di bawah kawalan yang sendat.

Zaman cacat ini pernah dihayati oleh Pramoedya, waktu itu dia orang kuat Lekra.

“(Saya) sekadar alat revolusi (kerajaan). Politik (bukan sastera atau seni) adalah panglima di dalam kehidupan bersama (seluruh negara),” katanya ketika mengganyang Manikebu.

Dalam buku kecil saya tadi, saya menyebutkan dua isu besar yang harus difikirkan oleh seniman-sasterawan.

Pertama, keruwetan ruang, yakni; bagaimana ruang itu dijadikan kancah perebutan politik, bukan medan pertandingan idea yang rasional. Kedua, kita mesti memurnikan politik; yakni, memberikan ruang penyertaan luas kepada orang ramai untuk mencampuri urusan politik (selain pilihan raya umum) tanpa rasa takut.

Idea memurnikan politik tersirat di balik penghayatan ungkapan-ungkapan: Demokrasi berpenyertaan, ruang awam, pemisahan kuasa, hak asasi, kemajmukan suara rakyat dan masyarakat pengundi yang arif maklumat.

Ruang awam samalah semangatnya dengan Manikebu, antara lain rasa tidak senang seniman-sasterawan Indonesia terhadap kegilaan kuasa Soekarno, termasuk projek ganyang Malaysia! Apakah semangat ruang mandiri seumpama ini sejenis “ideal utopia”?

Ruang awam, menurut Habermas, memang dicetuskan bersama Zaman Pencerahan abad ke-18, sekitar era pertembungan sasterawan-budayawan dengan kuasa raja serta feudalisme benua itu.

Ruang ini akhirnya membuahkan demokrasi, kemajuan sains, kapitalisme, hak asasi, rasionalisme, revolusi industri, kebebasan individu dan kemodenan Eropah.

Niat, nilai atau ghairah inilah yang diabadikan dalam Wawasan 2020. Ruang awam yang telah berjaya membuang tahyul agama serta bidaah politik Eropah.

Hanya sejarah kemudiannya membuktikan harga diri dan kebijaksanaan sasterawan-seniman kita hari ini, seperti Manikebu telah membuktikannya dan sebagai mana sejarah telah menghukum Lekra dengan berat sekali.

1 comment:

Anonymous said...

Faisal Tehrani, teman kami, menulis begini di blognya:

Bangsa yang gagal menguasai falsafah, yang menutup kursus falsafah di universiti ialah bangsa yang akan kalah dalam bidang sains. Falsafah dalam karya sastera adalah bumbu dan mangkin untuk kemajuan sains dan teknologi. Lihatlah sejarah umat berjaya di dunia, bangsa yang karya atau kerja sasteranya tepu dengan falsafah, bangsa itu jugalah yang mencipta-cipta bermacam ragam produk peradaban (yang kini kita namakan sains dan teknologi).

Inilah cabaran pengarang semasa dan seterusnya selepas merdeka. Kita harus memesrai falsafah supaya masyarakat saintis yang kalah oleh Barat akan dapat semula kekuatannya. Kerana itu kerja pengarang sastera bukan lagi menyempurnakan bentuk atau luaran karya tetapi harus mendalami makna dan wacana. Hanya dengan idea dan kekuatan daya taakul kita akan jadi bangsa yang terus merdeka.


Saya senang sekali, dan jika tiada aral, berusaha untuk mengulasnya di blog ini.

Fathi Aris Omar