Ada seorang teman jauh, maksudnya tidak dikenali dengan dekat, meninggalkan ulasan ringkas di kaki coretan lalu Dialog, diskusi dan usrah. Katanya, dia pernah menulis e-mel kepada saya tetapi tanpa balasan. Lalu saya menyemak kembali apakah benar saya terlupa, atau enggan, menjawab e-melnya.
Ya, memang pernah seseorang bernama "Munirah", kalaulah dia itulah Munirah yang sama, menulis e-mel kepada saya pada tahun 2002 -- selepas, dan sebagai reaksi, artikel saya Anak muda tidak mungkin berwacana. Sebagai menebus kegagalan saya tidak menjawab e-melnya dulu, saya dedikasikan coretan ini buatnya dan teman-temannya yang berdiskusi di kelas UBU (Universiti Bangsar Utama) lima tahun lalu.
Saya masih ingat, persoalan ini juga didebatkan dengan teman Rahmat Haron sewaktu dia membahaskan persoalan diskusi, sumbang saran, wacana yang pada hakikatnya "sama sahaja". Di satu sisi, memang ada benarnya. Sayangnya, kritiknya tidak diterbitkan walau saya sudah bersedia dengan "reaksi balas" terhadap ulasannya tersebut.
Coretan ini tidak berhasrat mengungkitkan cerita lama. Tetapi ada baiknya juga kita menilai kembali, mengimbas perjalanan usia (termasuk naik turun perkembangan intelek sendiri) dalam persoalan ini. Coretan retrospektif yang bersifat menerobos ke ruang diri, mengintai dan mengintip kecuaian, dan juga peningkatan, dalam tempoh tersebut.
[ii]
Saya mulakan dengan semangat liberal warisan Pencerahan seperti diungkapkan oleh ahli akademik dalam bidang sejarah dan falsafah sains, Alfred I. Tauber (hal 4):
.... the key components of the Enlightenment: celebration of an unfettered reason; the relentless questioning of authority and doctrine; the promotion of individuality and free-choice; the centrality of selfhood and moral agency; the confidence in progress; the sanctity of secularism. In short, these precepts, refracted into the worlds of politics, law, social mores,and perhaps most evidently in theology, marked modernity’s coming of age.
Di hujung makalahnya (hal. 14-15), selepas menjelaskan dilema dan kerenggangan sains moden (positivis) dengan sains kemanusiaan-sastera (termasuk agama) yang diwarisi sejak abad ke-18 hingga abad ke-20, Tauber menyebut:
.... human reason apparently has a basic property, one demonstrated by myriad psychological and cognitive studies: Coherence of experience, coherence of belief, coherence of understanding seems to be a basic property of the human mind. Freud discovered numerous defense mechanisms to hold the psyche together; cognitive scientists have demonstrated the ability to screen out or forget data or experience conflicting with more dominant experience; and metaphysicians jealously guard their presuppositions to hold their world together.
[iii]
Dua kutipan di atas saya maksudkan: Berwacana, berdialog atau berdiskusi serius, yang menyedari tugas fikiran untuk menyiasat sesuatu persoalan dengan bebas dan cair; di samping itu menyedari juga kekangan kelaziman yang menguasai tabiat fikiran, habit of mind, kita sendiri. Termasuk, tentunya, kepalsuan logika atau kesilapan kategori tanggapan, catogory of perception.
Artikel saya yang dulu itu memanglah ada cacat celah di sana-sini, seperti benar sekali kritik Rahmat itu dan teman-teman lain, termasuk (e-mel kedua) Munirah. Saya tidaklah pula bercadang mempertahankan diri daripada kritik-kritik itu, atau menjawabnya. Bagi saya, yang berlalu itu biarlah berlalu, tidak eloklah diungkit-ungkitkan lagi kecuali atas kesediaan bersama untuk merenung diri demi kemajuan masa depan.
Jadi, artikel kali ini hanya bertujuan menghuraikan lagi (sedikit) beberapa isi yang saya fikir masih relevan -- apatah lagi selepas usia Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT) yang kerap pula menganjurkan Diskusi Warong, secara "rasmi" dan tidak rasmi, kurang lebih berusia lima tahun.
Kebetulan fokus blog ini sekarang masih lagi meminjam artikel lama itu, maka saya kira berhak untuk saya (dan pembaca umumnya) untuk membahaskannya. Jika ada gunanya, artikel ini boleh dijadikan bahan renungan baru untuk memperbaiki lagi mutu diskusi-diskusi serius kita.
[iv]
Dalam artikel tersebut, saya menekankan "peresahan intrinsik", perenungan yang mendalam, sebati dan semula jadi dalam diri terhadap sesuatu persoalan. Sekira-kiranya persoalan itu mendarah daging dengan diri kita sehingga ia menjadi begitu cair -- kalaupun bukan jawapannya yang berjaya diungkap dengan cair dan lancar, sekurang-kurangnya "permasalahan" itu sendiri berjaya dirumuskan dengan lancar dan cair.
>>> Sedikit sebanyak, saya cuba menggambarkannya di sini: Usrah, kecairan dan kebekuan dan juga Usrah tidak mendisiplinkan fikiran (dalam konteks berusrah)
Yakni, sesuatu persoalan itu telah berjaya dirumuskan dengan baik. Tentulah perumusan sesuatu pokok persoalan melibatkan usaha berat -- pembacaan dan diskusi yang serius pula. Jarang sekali usaha sebegini bersifat sepenuhnya peribadi, saya kira.
Yakni, sesuatu idea itu bertukar obsesi yang "melekat pada otak" kita -- bukan lagi semata-mata "fikiran" tetapi telah menjadi tubuh dan tingkah laku. Maksud saya, persoalan yang mendarah daging seperti dihuraikan oleh Karl R. Popper dalam bukunya Knowledge and the Body-Mind Problem.
Yakni, ia menjadi "nyata", bukan sekadar tiruan, fotokopi atau buat-buat tetapi mesra dengan alam fikir kita sehingga pengucapan idea itu tidaklah tergagap-gagap.
>>> Cabaran inilah yang paling besar (apakah ini puncak tertinggi diskusi?) untuk kita capai dan didik agar diskusi mencetuskan kesemulajadian kegiatan berfikir, dan diskusi sebagai medan perkongsian kesemulajadian tersebut. Pokok persoalan tumbuh menjadi keprihatinan yang berakar umbi di dasar fikiran.
Entahlah, Munirah, saya hanya mampu menggambarkan keintimannya sahaja tetapi nampaknya tiada lagi huraian yang lebih halus, perinci dan lengkap selain beberapa perenggan di atas, bahagian [iv].
[v]
Bagaimanapun, jangan pula kita salah faham bahawa kesemulajadian obsesi berfikir itu bermakna "penyelesaian" sesuatu masalah, kebernasan sesuatu idea yang dilontarkan atau "puncak kebenaran". Kesemulajadian itu sekadar ruang seluas-luasnya, dan juga dalam, yang pernah dicakupi oleh fikiran berkenaan topik persoalan tersebut. Persoalan dinilai dari banyak sisi, termasuk yang rumit serta ruwet, bukan lagi lapisan atas atau sambil lewa.
Dalam pengalaman saya -- sebelum atau sewaktu menyediakan Anak muda tidak mungkin berwacana hingga saat ini -- anak muda selalunya, umumnya (yakni: bukan semua) gagal mencapai kesemulajadian tersebut. Bagaimanapun kenyataan saya ini tidaklah pula bermakna mereka yang telah "banyak makan garam" berjaya.
Persoalan yang tersisa daripada pengamatan saya ini ialah: kenapa dan bagaimana kegagalan ini boleh terjadi? Apakah anak muda enggan berfikir serius, enggan "menggeluti" sesuatu persoalan, enggan memerah akal fikiran terhadap sesuatu persoalan yang "mujarad"? Atau, anak muda masih sangat mentah sehingga dia/mereka tidak tahu apa-apa tentang berfikir serius dengan berfikir main-main? Atau, beban yang dipikul anak muda sekarang terlalu besar sehingga ruang "menggeluti" sesuatu persoalan itu sudah tidak mungkin sama sekali? Atau, memang anak muda hilang stamina untuk berlama-lamaan dengan sesuatu persoalan akibat gerak zaman ini yang menuntut kesegeraan dan kepantasan?
Atau, mungkin, seperti ungkap Tauber dalam kutipan keduanya di [ii] bahawa anak muda kita sudah terlalu "selesa" dengan tabiat fikirannya yang sedia ada sehingga mereka tidak mungkin melakukan sesuatu modifikasi radikal terhadapnya (fikiran) demi mencipta kesemulajadian itu?
Oleh itu, mereka tidak ada motivasi, apatah lagi stamina, untuk meneroka ruang tersebut? Ya, saya sendiri meninggalkan persoalan tersebut di sini Akar umbi 'pembodohan' Umno.
Saya tidak ada jawapannya, ... maka serahkan kembali persoalan ini kepada Munirah, dan pembaca-pembaca.
Friday, June 29, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 comments:
Salam untuk teman jauh!
mujur ya rahmat tidak menunggu 5 tahun untuk membalas email saya. jadi persahabatan itu masih ada sampai sekarang -walaupun cuma lewat SMS saja akhir2 ini huhu.
--
Perkataan itu berat. walau didengar dan dicampak-campak dan diulang-ulang dan mungkin kelihatan sia-sia dan keluar saluran telinga kiri - yang ikhlas akan diganjari dan yang dusta tetap dihukum.
munirah,
dari coretan kontot anda ini saya dapat rasakan ada perkara2 gusar yang masih berteleku di dalam benak anda. Mungkin boleh dikongsi - untuk kebaikan bersama. Atau mungkin kita boleh duduk bersembang bila2... kalau berminat.
jelirda@gmail.com
iya siapa pula pemunya alamat email jelirda ini? kalau nak ajak bersembang saya tidaklah ada halangan, tapi saya bukan orang yang banyak hujah. membaca belum banyak lagi, tidak petah pulak tu. Kalau ada acara bersembang dgn tuan punya blog yang baru bernikah ni beritahulah nanti saya datang, insya Allah!
Post a Comment