Selama ini keghairahan saya bermula dengan isu pendidikan, ilmu, intelektualisme, budaya kampus -- dan bagaimana mendorong kita berfikir, juga apakah yang mengelabui sudut-sudut pemikiran kita.
Dalam perjalanan sederhana panjang itu, sejak lewat remaja, sejak beberapa tahun berusrah, obsesi saya ini terus berkembang -- daripada buku Budaya Ilmu (Wan Muhammad Nor Wan Daud, terbitan awal, bukan Penjelasan Budaya Ilmu), Intelektual Masyarakat Membangun (Syed Hussein Alatas), Faham Ilmu: Pertumbuhan dan implikasi (Idris Jauzi, ed.) kepada subjek Sejarah dan Falsafah Sains dalam Islam (ITM, 1991) kepada buku-buku pop pengurusan seumpama Joel Arthur Barker, Paradigms: The business of discovering the future dan juga Peter Senge, The Fifth Discipline.
Sehinggalah saya cuba menyelami "analisis wacana", "ruang awam" Jurgen Habermas, "semiotik" dan sejumlah artikel tentang fikiran kritis dan kepalsuan logik (dan juga teori penghujahan). Seingat saya, sudah lebih 20 tahun minat ini bergejolak di dalam diri saya. Ia menjadi keghairahan tentang ilmu dan epistemologi, tentang sains dan falsafahnya, tentang budaya membaca dan intelektualiti bangsa.
Ada sesuatu yang berguna saya pelajari dalam perjalanan akal sepanjang tempoh itu, walaupun tidak semua buku-buku bacaan saya itu bermutu dan "besar", sekurang-kurangnya sebagai pencari kepuasan intelek seorang diri tanpa teman dan panduan, saya berasa bangga dengan ketekalan semangat saya itu.
[ii]
Tidak banyak artikel yang berjaya dihasilkan daripada sejumlah pengetahuan yang ada, sementara yang sedikit itu pula jauh daripada memuaskan. Apatah lagi, sebahagian besarnya tidak berada dalam format digital.
Beberapa artikel terkini yang boleh dirujuk termasuklah: Siswa perlu 'bahasa baru', Wacana 'gelap' Melayu, Akar umbi 'pembodohan' Umno dan juga Ancaman pembiusan agama.
Mungkin anda pernah membacanya. Sama ada faham atau tidak, terpulang kepada anda untuk menyelaminya, khususnya dengan beberapa pautan yang saya sediakan di bahagian [i] artikel ini.
[iii]
Artikel saya kali ini mahu menyentuh secara spontan dan seimbas lalu maksud, perjalanan dan inti dialog atau diskusi (dan tentunya usrah termasuk dalam format tersebut).
Kecelakaan yang sering menimpa kita, termasuk teman-teman dan saya, kita adakan/lalui proses-proses dialog, diskusi atau wacana tanpa kefahaman mendalam tentang hal-hal tersebut dan semuanya itu menjadi proses bertukar kata-kata dan buah fikiran semata-mata.
Proses sembang dan bercakap-cakap yang liar atau tidak berhala. Bukan proses belajar, bukan proses menyelami, berfikir dan memahami, tetapi proses bertukar-tukar untuk melambakkan pengetahuan. Proses mencampak pengetahuan dari mulut pengucap untuk disambut telinga pendengar. Ia bukan proses menyemak diri (si pengeluar idea) dan proses menyemak hujah (bagi si pendengar).
>>> Proses ini lebih dekat dengan kegiatan "sembang", dan kalau kita bercadang menegakkan hujah (termasuk benang basah kita), proses pertukaran kata-kata ini lebih mudah disebut "diskusi", dan bukan dialog. Sewaktu Habermas menyebut "demokrasi yang dialogical (akar kata dialogue) atau discursive (akar kata discourse, atau wacana)", beliau maksudkan pertukaran idea, kata, maklumat untuk saling memahami, saling menyemak diri dan lawan bicara, demi mencapai suatu tingkat kefahaman (dengan etika wacana, discourse ethics, tertentu pula).
Diskusi tidak sama dengan dialog. Diskusi lebih ke arah penghujahan untuk meraih hujah yang lebih kuat (ke arah menegakkan hujah, demi meraih "kemenangan" berhujah); sementara dialog ke arah saling memahami, saling menyelami yang tersirat bawah idea seseorang.
Tetapi elok juga jika kita gabungkan dialog dengan diskusi menjadi usaha saling memahami untuk mencari titik kefahaman (ilmu, idea) yang lebih bernas.
Pertama kali saya belajar proses dialog untuk tujuan pembelajaran (diri dan kumpulan) sewaktu membaca buku Peter Senge, The Fifth Discipline. Kurang lebih tidak jauh huraiannya daripada artikel David Bohm dalam makalahnya "On Dialogue" (1998). Huraian Senge sila baca di sini.
Yakni, dialog memerlukan etika, kesedaran, tanggungjawab dan kejujuran (di dalam diri) untuk membongkar "lantai berhujah" (atau premise) atau "andaian" (atau, assumption) diri kita sendiri sehingga kita berkata sedemikian.
>>> Untuk memahami maksud "lantai berhujah", lihat cara saya menganalisis wacana "Melayu perlu bersatu" dalam artikel Wacana 'gelap' Melayu.
Termasuk, sewaktu kita mengemukakan soalan-soalan tertentu. Ada sesuatu idea atau sejumlah alasan (motivasi) yang menggerakkan kita bertanya sesuatu. Setidak-tidaknya, ada tujuan tertentu. Atau, kenapa persoalan itu dirumuskan sedemikian rupa -- tentulah ada yang tersirat di sebaliknya.
Jadi, bukan hanya penyataan biasa, atau statement, yang menyembunyikan lantai berhujah tetapi semua bentuk penyataan, termasuk pertanyaan, menyimpan sejumlah/serangkaian idea lain.
Tanpa lantai berhujah, kita tidak berfikir secara rasional, logikal dan kritis. Malah, mungkin otak kita bercelaru sehingga kita tidak tahu apakah landasan yang menggerakkan kita sehingga mengeluarkan penyataan atau pertanyaan tertentu.
Misalnya kita berkata: "Melayu malas membaca". Ia bukan satu fakta yang sah. Kemungkinan besar kenyataan ini diambil daripada pengalaman. Malah, jika kita lebih kritis, kita seharusnya bertanya, apakah maksud "membaca" di sini? Membaca buku? Membaca akhbar? Membaca e-mel?
Jadi, kalau kita ingin belajar, ingin mencungkil sesuatu yang kita sedar (atau tidak sedar) bawah pemikiran kita, kita harus membenarkan lantai berhujah kita dibangkitkan lawan bicara kita.
Seelok-eloknya kita menyebutkan lantai berhujah tersebut kepadanya agar dia boleh memahami niat, konteks, sandaran idea yang tersirat di sebalik sesuatu penyataan kita -- misalnya, tadi, "Melayu malas membaca".
>>> Yakni, membuka dasar-dasar idea untuk disemak, untuk diterokai bersama dalam kumpulan perbualan kita. Proses penerokaan ini, bagaimanapun, bukan macam sesi sumbang saran, brainstorming, yang terbuka dan terlalu longgar. Penerokaan dalam dialog ke arah mencapai kefahaman yang lebih mendalam, mencungkil sesuatu siratan idea tersembunyi, mengetatkan idea longgar, dan membuang idea lemah/tidak relevan.
Beginilah proses dialog, proses menyemak diri, proses belajar, proses menilai kedangkalan diri sendiri. Kita tidak akan dan tidak boleh defensive, yakni menyembunyikan lantai berhujah kita sehingga menyulitkan lawan bicara kita memahami maksud sebenar/tersirat yang terkandung dalam penghujahan kita.
Kaedah sedemikian, kaedah dialog seumpama ini, lebih dekat dengan usaha mencari kebenaran dan kebernasan hujah. Sementara orang politik, atau hujah politik demi tujuan propaganda, sering menyembunyikan lantai berhujah agar sandaran-sandaran menjadi kabur dan tidak dipersoalkan orang ramai.
Contoh yang saya sebutkan "Melayu perlu bersatu". Lantai-lantai berhujahnya yang "lompong" dan "palsu" itu sengaja disembunyikan demi mengangkat diri sebagai pejuang Melayu yang menyeru kepada kebaikan (yakni: bersatu), dan mungkin juga ingin menunjukkan parti lawan (pembangkang) tidak berminat dengan "perpaduan", oleh itu punca pecah-belah dalam masyarakat.
Oleh itu, jika kita ingin memahami wacana politik dan membedah sesuatu wacana (termasuk propaganda pembangkang dan kerajaan), kita mesti bersedia untuk membongkar lantai-lantai penghujahannya, bersama konteks wacana itu dikemukakan, termasuk pemilihan kata-kata khas (label, istilah khusus atau terminologi) yang selalunya membawa dampak emosi (kata-kata yang bernilai emotive).
>>> Tentang propaganda kumpulan Islam dalam isu "Islam liberal", lihat analisis saya di sini Taktik kepungan minda ummah.
[iv]
Bagaimanapun, tidak semua penyataan kita itu, misalnya "Melayu suka hiburan", kita luahkan dengan teliti setelah berfikir berkali-kali. Apatah lagi selepas membuat kajian. Kebanyakan kenyataan kita, sewaktu kita asyik bercakap dan memajukan hujah kita, tidak kita semak kembali, andaian tanpa semakan, unchecked assumptions.
Jadi, sebetulnya banyak sekali tersembunyi dan tersirat andaian-andaian yang tidak disemak dan dikaji berselirat dalam fikiran kita, underlying, hidden assumptions, sehingga ia menjadi wacana (kita sebut "buah fikiran" atau "analisis").
Misalnya, "Melayu suka hiburan", apakah membawa maksud hanya orang Melayu yang tergila-gilakan hiburan, sementara bangsa-bangsa lain di dunia ini tidak menggemari hiburan? Hiburan jenis apakah yang sebenar-sebenarnya maksud kita itu? Program hiburan di TV atau berita hiburan di akhbar?
Beginilah sulitnya pemikiran apabila luahan kata tidak diteliti dengan halus dan cermat. Sehingga sesuatu perkataan tidak diberikan batasan atau tidak dinyatakan skop atau takrifnya. Misalnya dalam ayat "Melayu suka hiburan", perkataan "hiburan" itu maksudnya apa?
Sering juga kita mengandaikan (andai lagi!) semua orang faham. Tidak tidak sedar dalam disiplin berfikir, disiplin menganalisis, seperti disiplin akademik, kita tidak boleh mengeluarkan penyataan yang terlalu bebas dan longgar. Kenyataan seumpama itu disebut generalization atau sweeping statement.
Jadi, kita harus berhati-hati sewaktu berfikir seorang diri, khususnya sebagai penulis blog atau anggota usrah, agar tidak terperangkap dalam kedangkalan, kelonggaran dan kebodohan berfikir walaupun ilmu pengetahuan kita banyak ibarat segudang perpustakaan. Perpustakaan hanyalah setor pengetahuan; bukan fikiran yang tahan uji dan mantap!
Sebab itu, kita mesti mengajar diri sendiri dan teman-teman perbualan kita seni berdialog -- yakni seni membuka diri untuk dinilai, seni menyemak lantai berhujah, mengkaji semula keabsahan/kesahihan sesuatu lantai berhujah yang membentuk idea kita.
Selagi kita gagal membina sikap dan disiplin ini (saya suka sebut "disiplin ilmiah"), selagi itulah usrah kita, dan komunite kita akan menjadi sarang tempat membiakkan kebodohan, atau kedai fotokopi pengetahuan, tempat menjaja-mengutip pengetahuan tetapi bukannya makmal wacana, bukannya bengkel idea.
Ingat! Sesiapa sahaja tanpa kecuali dalam waktu-waktu tertentu, ketika membahas sesuatu topik perbualan, boleh terjerumus dalam kebodohan ini.
>>> Artikel-artikel lain yang berkaitan: Usrah tidak mendisiplinkan fikiran, Usrah, kecairan dan kebekuan dan juga (lebih umum) Usrah jadi ‘rutin rasmi’, maka ia gagal?
Wednesday, June 27, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
9 comments:
betul.dan inilah lapisan penting yg jarang diberi perhatian oleh kita. Adakah dialogsi (dialog/diskusi) yg ko kritik ni, masalahnya telah sedia (sifat semulajadi) ada dlm pemikiran kita? atau didorong oleh faktor2 pendidikan atau budaya hidup yg sedia ada kini?
salam
kumpulan saya develop satu method untuk membentuk pemikiran critical, creative and ethical thinking yang kami namakan hikmah program. setelah beberapa tahun membuat experiment kami yakin kaedah ini boleh berjaya. last week kami telah melatih sekumpulan pelajar dari IIUM untuk menjadi faci untuk kaedah ini. kami gunakan socratic questioning and dialectical method untuk probe underlying assumptions of beliefs and opinions.
saya amat tertarik dengan minat saudara dalam philosophy. kalau boleh berkongsi idea
Terima kasih kerana menjemput saya melawat blog saudara yang ini. Saya tertarik. Banyak 'pemikiran' baru [bagi saya] yang boleh saya pelajari di sini. Pendekatan, perspektif dan cara saudara melihat sesuatu yang berbeza dan mendalam amat 'mesra' dengan jiwa dan selera saya.
Terima kasih kerana berkongsi.
Nur Hikmah, ya boleh berkongsi2 idea. Tetapi bagaimana hendak hubungi anda & kawan2 anda itu?
Kami sangat berminat dengan kaedah berfikir yang kwn2 anda majukan/terokai itu. Harap2, dapatlah berkongsi dengan kami.
Kami di Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT) ada diskusi buku/isu2 ilmiah semasa (agama, teori politik, kritik seni budaya) 2x sebulan, marilah sertai kami.
Selain program ini, kami sembang2 di waktu2 petang @ malam selepas membaca akhbar, buku atau makalah2 di Internet.
Datanglah. Kami selalu melepak2 di kawasan Bangsar Baru (Jalan Telawi) atau Bangsar Utama (dekat Malaysiakini.com).
Hujung minggu lalu KsJT diskusi dua buah lagu, selain diskusi (awal) buku Enlightenment karangan Dorinda Outram.
Siri2 akan datang, kami akan lanjutkan lagi diskusi ini. Antaranya, isu2 yang dibangkitkan, dalam makalah Alfred Tauber seperti saya paparkan di blog Patah Balek.
http://usrah2007.blogspot.com/ (topik "Doktor: Apa itu Pencerahan?", 24 Jun)
Terima kasih atas minat. Selamat Maju Jaya dengan program anda!
Nur Hikmah, tersilap sedikit. Sepatutnya http://patahbalek.blogspot.com/ (topik "Doktor: Apa itu Pencerahan?", 24 Jun) faomar@yahoo.com
JP, selamat datang!
Kritik dan analisis saya ini semuanya idea2 asas dan lama. Cuma sekadar untuk perkongsian awal.
Saya berharap, seperti juga kata pengantar saya 'Pasca-Tulis' di buku Patah Balek, akan muncul makalah-makalah yang lebih cemerlang daripada pengarang2 muda yang lebih gemilang dan terbilang.
Hehehe ... (Bergurau dengan nada serius!)
Nota: Maksud saya slogan ini menarik dan apalah salahnya jika kita menunaikan tuntutannya "Cemerlang, Gemilang, Terbilang"
fathi aris faomar@yahoo.com
En. Fathi ni autodidact rupanya.
Sebelum zaman berblog ni saya mengutus email kpd saudara tetapi tak ada balasannya huhu :P
TIdak ada tujuan apa saya meninggalkan komen di sini. saya cuma seorang yang membaca dalam senyap selalu :)
Selamat Berkahwin! ;)
Munirah, maaf jika e-mel tidak berbalas. Pertama, mungkin disebabkan kantong e-mel itu sudah tidak saya pakai.
Kedua, mungkin e-mel Sdri masuk ke kantong "Spam" kerana sering juga e-mel baru masuk ke situ dan selalunya saya tidak semak semula. Banyak kali juga rakan-rakan saya merungut soal ini.
Ketiga, umumnya, jika saya tidak terlepas pandang, dan jika saya tidak benar-benar sibuk, saya akan jawab (paling ringkas): "Terima kasih kerana menulis kepada saya. Kalau ada masa lapang, saya akan menjawab lebih panjang."
Keempat, kecuali beberapa bulan mutakhir, sejak kerja dengan Star (Feb 2006 hingga April 2007), saya memang tidak membuka e-mel. Kadang2 sehingga lebih sebulan dan berlonggok-longgok e-mel masuk, termasuk sebahagian besarnya SPAM.
Jadi, kemungkinan besar, e-mel Sdri itu telah terlepas pandang. Maaf. Banyak-banyak maaf.
Ya, benar. Saya ni dalam banyak hal autodidact, termasuk bidang penulisan, kewartawanan dan media.
Saya hanya ada Diploma dalam bidang agribusiness atau pengurusan pertanian! Hahaha!
>>> Oleh itu, saya sering percaya, "hendak 1,000 daya, tidak hendak 1,000 kali tidak berdaya"!
Post a Comment