Monday, June 4, 2007

Taktik kepungan minda ummah

Di kalangan aktivis politik agama dan kelompok dakwah sekarang, label ‘Islam Liberal’ semakin menarik perhatian. Bulan ini sahaja, ada dua pertemuan yang meninjau ‘cabaran’ dan ‘ancaman’ aliran ini, diadakan di Johor Bahru dan di Kuala Lumpur.

‘Islam Liberal’, atau sebutan ringkasnya ‘Islib’ sahaja, dianggap sejenis lagi masalah (mungkin ‘masalah terbesar’?) dalam tubuh umat Islam yang perlu diketepikan dan diawasi. Islib itu, seperti digambarkan di negara kita, sekumpulan wacana yang seakan-akan atau berdekatan dengan sekelompok aktivis di Komunitas Utan Kayu (KUK), Jakarta yang dikenali Jaringan Islam Liberal (JIL).

Pada mulanya ia muncul dalam bentuk kumpulan diskusi senarai e-mel pada awal 2001. Dipimpin, antaranya oleh Ulil Abshar-Abdalla, JIL juga menerbitkan beberapa buku, misalnya Wajah Liberal Islam di Indonesia.

Awal Mac lalu, JIL baru menyambut ulang tahun keempat dengan daya tarik yang luar biasa, jauh lebih ramai daripada acara-acara lain di KUK. Beberapa ratus orang hadir setiap hari. Saya dimaklumkan diskusi falsafah, antaranya agama, sering menarik perhatian golongan muda dan aktivis di kota ini – berbanding, misalnya, diskusi sastera atau media.

Walau JIL masih muda tetapi reformasi pemikiran agama di republik ini tidaklah baru, malah sentiasa wujud sejak beberapa dekad lalu lagi. Republik ini didirikan bersama kesedaran intelektual yang serius (kalau pun tidak mendalam), tidak seperti sejarah negara kita.

Sejumlah debat politik, kebudayaan, pemikiran nasionalisme dan kenegaraan, tidak terkecuali perbahasan hubungan agama dengan negara, muncul dari pejuang-pejuang muda kemerdekaan sama ada ketika mereka di Eropah atau pulang ke tanahair. Misalnya, ‘Polemik Kebudayaan’ 1935 atau Sumpah Pemuda kurang lebih sedekad sebelumnya.


Mengepung fikiran massa

Menjelang kemerdekaan republik ini pada 1945, ketika mahu merumuskan rukun-rukun dasar negara, debat agama dan negara telah berlangsung. Debat itu diteruskan lagi dalam sidang-sidang parlimen sedekad selepasnya (1956-59). Sejak itu, idea-idea pemikir Islam tentang negara atau politik terus berkembang – sama ada yang pro-syariat, menentangnya atau mencari kesesuaian ‘jalan tengah’ antara kedua-duanya.

Senario sekarang pula dijelaskan oleh ahli akademik Robert W Hefner: “Nowhere in the Muslim world have Muslim intellectuals engaged the ideas of democracy, civil society, pluralism, and the rule of law with a vigour and confidence equal to that of Indonesia Muslims.” Lihat buku The politics of post-Suharto Indonesia (1999, editornya Adam Schwarz dan Jonathan Paris).

JIL itu bukan gejala baru, malah sambungan siri-siri wacana dan pemikiran tokoh-tokoh di negara jiran kita, misalnya turut dikenali di negara kita Nurcholish Madjid (juga digelar Cak Nur) dengan slogannya Islam ‘yes’, partai Islam ‘no’ sejak 1971.

Tetapi kata, label dan wacana ‘Islam Liberal’ di negara kita saat ini membawa gendang tari berbeza, dengan irama dan rentak wacana ‘telunjuk lurus, kelingking berkait’. Label ini dikembangkan oleh PAS dan beberapa pihak yang dekat dengan pertubuhan Islam seperti Jamaah Islah Malaysia (JIM).

Label ini dijadikan alat untuk mengepung minda orang Islam seperti Dr Mahathir Mohamad yang pernah menyerang Barat, setiap kali kita menuntut ruang demokrasi, kebebasan, keadilan sosial dan hak asasi manusia.

Pengamat isu semasa dan aktivis politik pembangkang tentu sedar bahawa sikap anti-Barat yang digembar-gemburkan Dr Mahathir itu semata-mata bertujuan mengepung fikiran massa, menimbulkan kesan ‘kebencian’ dan ‘ketakutan’ terhadap Barat – pada waktu yang sama melupakan persoalan nyata (real) yang bergolak di dalam negeri, antaranya sikap keras dan tidak demokratik beliau sendiri.


Menentang penguatkuasaan moral

Label dan sejumlah wacana ‘Islam Liberal’ di negara kita tidak ubah taktik buruk dan propaganda murahan Dr Mahathir itu – yang kononnya tidak digemari oleh PAS atau aktivis Islam. Kononnya musuh Islam ada di mana-mana, tidak cukup berwajah ‘Barat’ dan ‘Yahudi’, musuh Islam muncul dalam tubuh umat Islam sendiri dan perlu diwaspadai, antara namanya ‘Islam Liberal’.

Label ini perlahan-lahan mendapat panggung utamanya apabila kumpulan-kumpulan Islam diserang rasa kaget selepas bermunculan isu-isu pokok yang mereka gagal tangani dengan rasional, tenang dan ilmiah. Isu- isu besar itu, antaranya, suruhanjaya antara agama (Inter-Faith Commission) dan memorandum menentang penguatkuasaan moral (peribadi) oleh negara.
Memang kata ‘Islam Liberal’ – cuba dikaitkan dengan JIL atau beberapa wacana ‘bergengsi’ di beberapa negara Islam – sudah ada pada aktivis agama kita. Namun, belum meluas. Tetapi peristiwa-peristiwa politik pada bulan-bulan terakhir di Malaysia mengetengahkan ungkapan dan label itu ke tingkat wacana popular masyarakat kita. Ia mahu dirembeskan ke ruang kesedaran awam.

Label ‘Islam Liberal’ dijadikan sejenis ‘gertak sosial’ yang menakutkan supaya sebarang wacana perubahan dalam pemikiran umat Islam atau kritik agama mengalami jalan buntu. Sebab itu, pada hemat saya, label yang dibawa oleh aktivis agama kita ini akan membantut proses perubahan pemikiran orang Melayu. Ia boleh mencipta mental block atau hadangan nalar yang baru.

Pemakaian label dan wacana ‘Islam Liberal’ di negara kita dikaitkan dengan Sisters-in-Islam (SIS), gejala imam Amina Wadud, gerakan anti-hadis Kassim Ahmad, beberapa yayasan luar negara yang mempromosi demokrasi, program kerajaan yang dimusuhi mereka (misalnya ‘Islam Hadhari’) atau artikel Astora Jabat di Mingguan Malaysia. Semuanya dipukul borong!

Strategi seumpama ini memang ciri khas propaganda dan taktik ‘klasik’ kepungan minda.

Dalam satu siaran akhbar Dewan Pemuda PAS menjelang demonstrasi mereka pada 15 April 2005 (Jumaat), bagi menentang 50 NGO anti-kawalan moral itu, nama-nama yang disebutkan tadi dirangkum sekali gus bagi membesar-besarkan rasa cemas umat Islam dan (pada waktu yang sama) meraih pulangan politik.


Mengobarkan semangat bergerombolan

Bersesuaian pula dengan seruan presiden PAS, Abdul Hadi Awang pada minggu itu, di muka depan Harakah (edisi 16-30 April), “jangan undang huru-hara.” Kemudian mereka mengedar pula beberapa ribu risalah kepada umum, tanpa penjelasan duduk perkara sebenar, tentang apa yang mereka label ‘bahaya Islam Liberal’

Hujung dua minggu lalu, seorang pemimpin PAS dengan nada beremosi mengecam kenyataan presiden Gerakan, Lim Keng Yaik pula, berhubung isu pendidikan Islam di sekolah-sekolah kita. Beberapa tulisan (posting) di Internet juga sarat dengan emosi seumpama Mohamad Sabu membakar emosi ini sehingga umat Islam, orang Melayu dan rakyat Malaysia (yang tidak berfikir) kabur duduk perkara sebenar sesuatu persoalan.

Perang ini perang psikologi taraf rendah, usaha mengepung minda kolektif. Ia bukan usaha membuka wacana yang mencerahkan akal tentang beberapa isu dasar awam (public policy) dan hubungannya dengan agama. Bukan mendidik rakyat memperhalusi isu, mengajar orang ramai tentang pokok dan isi persoalan negara (dan kaitannya dengan agama) secara rasional, kritis dan tenang. Tetapi, mengobarkan semangat bergerombolan (atau, herd mentality) dalam wacana politik. Ketika berdemonstrasi, mentaliti gerombolan disebut ‘mob rule’.

Lagak mereka ini, seimbas lalu, seperti anak-anak hingusan – tidak mampu memujuk ibu bapa membeli barang kesukaannya, anak akan duduk mengeras diri, menghentak-hentakkan kaki atau meraung-raung sekuat hati tanpa mempedulikan sekeliling lagi! Jika tidak suka perlambangan anak ini, dalam bahasa politik, kita boleh sebut lagak aktivis Islam ini sejenis ‘pendekatan fasisme’ dalam mengepung minda orang ramai.

Dalam bahasa teori Jurgen Habermas pula, kumpulan-kumpulan Islam ini mengambil tindak strategik (yakni, sarat kepentingan, tidak telus dan tidak jujur), bukan tindak komunikatif dan diskursif (discursive). Mereka memanipulasi persoalan dan memberat-sebelahkan wacana menjadi tidak berimbang, termasuk melalui tekanan di luar proses wacana.

Pendek kata, mereka bercadang untuk ‘menang’, meraih keuntungan politik, bukan untuk membentangkan posisi dan keyakinan politik mereka sendiri kepada rakyat agar orang ramai nampak jernih persoalan-persoalan, mempertimbangkannya dan kemudian membuat keputusan.

Supaya fikiran masyarakat menjadi lebih berstruktur, berdaya analisa, matang dan tinggi tingkat penghujahannya; supaya rakyat ‘celik politik’.


Celik politik

Minda awam yang ‘celik politik’ akan cenderung independen, kritis dan tidak mudah dikawal lagi. Minda awam seperti ini diperlukan di negara kita ke arah pemupukan demokrasi. Tetapi PAS, kumpulan-kumpulan Islam dan Umno sama sahaja – melemahkan pemikiran massa dengan menyebarkan propaganda selapis, berpihak, beremosi, pandangan sehala, dan tidak jamak perspektif.

Lagak anak-anak ini, rupa-rupanya ada juga pada Persatuan Ulama Malaysia (PUM) sewaktu menghantar memorandum kepada Majlis Raja-raja pada tahun 2002. Yakni, sifat ‘manja’ dan ‘mengada-ngada’ untuk menagih simpati orang berkuasa! Saya semak kembali kenyataan akhbar PUM dan beberapa organisasi Islam itu untuk memahami psikologi, taktik politik dan kaedah wacana kumpulan-kumpulan Islam apabila berdepan dengan isu-isu nasional.

Rupa-rupanya ternyata lagak aktivis-aktivis Islam tidak jauh daripada Umno dan Barisan Nasional! Sikap membakar emosi dan menggembar-gemburkan isu (dalam kes ini, PUM berbeza) tetapi bukan menghuraikan pokok persoalan, inti debat dan duduk perkara sebenar. Inilah kaedah yang diwarisi di sebalik label dan kempen anti-‘Islam Liberal’.

Label ini dijadikan jalan pintas untuk mengelak isu-isu pokok dan lari ke ruang propaganda yang menyeramkan jiwa umat – satu lagi projek membius fikiran penganut agama.

Pendekatan seumpama ini pernah ditimpakan kepada Malaysiakini.com, Anwar Ibrahim, Team B Umno (1987-88), kumpulan anak muda ‘black metal’, parti-parti pembangkang dan beberapa kumpulan aktivis Cina.

Pendek kata, wacana pop kepada umum dijadikan senjata serangan terhadap ‘musuh’, bukan kaedah berkomunikasi dengan rakan dialog yang setara untuk saling memahami – satu proses panjang ke arah konsensus kolektif yang penuh sedar, sengaja dan bertanggungjawab.

Jika Umno memanipulasi sentimen Melayu, kumpulan-kumpulan Islam memanipulasi sentimen agama. Warna topeng wacana sahaja berlainan corak tetapi struktur, strategi manipulasi dan taktik tanpa demokrasi di sebaliknya tidak jauh berbeza.


Bantutkan reformasi politik

Pendekatan seumpama ini, bagi hemat saya, sisa-sisa projek ‘pembodohan Umno’ (seperti dihurai dua tahun lalu di sini) yang sudah melimpah ke takung pemikiran kumpulan-kumpulan agama dan PAS. Semua isu awam akhirnya tidak jernih. Semuanya diselaputi nada cemas, amaran atau gertak psikologi. Wacana bertambah kusut, hujung dan pangkal isu tidak dikenali lagi.

Oleh itu, umat Islam akan lambat berfikir secara independen untuk menentukan sikap sendiri, dan selama-lamanya mereka memerlukan kumpulan, parti atau ketua tertentu untuk memandu arah mereka. Siapa lagi yang boleh memimpin, kalau bukan puak-puak Islam ini?

Tidak diragukan lagi, cara kempen ‘Islam Liberal’ seperti dibawa oleh PAS dan aktivis-aktivis dakwah akan membantutkan langkah-langkah reformasi politik, bangsa dan agama kita. Sebab itu, kita semua harus bertegas dalam persoalan ini.

Sepatutnya aktivis Islam dan pemikir agama di negara kita berasa malu dengan wacana serong ‘Islam Liberal’ mereka saat ini kerana tidak sebanding rakan-rakan sejawat mereka dari negara jiran yang serius, beragam, mendalam dan sungguh-sungguh meneroka isu-isu agama, masyarakat sivil, demokrasi dan pluralisme.

Baru-baru ini dilancarkan buku ‘Islam, negara dan civil society: Gerakan dan pemikiran Islam kontemporer’ yang dikarang oleh 22 pemikir dan aktivis, sebilangannya masih muda.

(Tetapi gerakan Islam di sini melahirkan seorang penulis muda, apatah lagi pemikir, berbakat pun tidak mampu. Hampir semua tulisan di penerbitan Islam kita, termasuk laman-laman web, bertaraf ‘hampas’ sahaja. Manisnya ada di republik tetangga kita – tetapi egoisme sesetengah orang Malaysia sering lebih besar daripada akal mereka!)


Untuk apa kita berpura-pura

Maka, tidaklah hairan, apabila kumpulan-kumpulan Islam di negara kita enggan sama sekali mengiktiraf satu kenyataan pahit ini – sememangnya di dalam tubuh umat Islam itu sendiri ada ‘rasa gelisah’ yang sangat dalam. Rasa ‘gelisah’ pada jawapan-jawapan dangkal dan tradisional, pada sikap-sikap mundur pemikir dan aktivis Islam, pada persoalan-persoalan semasa yang masih tergantung tanpa jawapan meyakinkan.

JIL, Amina Wadud, Taliban, SIS dan Jamaah Islamiyah (JI) itu bukan wacana Barat, Yahudi atau Amerika Syarikat seperti suka digembar-gemburkan oleh aktivis-aktivis agama. Kita selalu ingin menyisihkan mereka. Mereka bukan daripada ummah, begitulah nada kita demi menjaga air muka sendiri apabila telah terconteng arang. Ada sindrom sangkalan (denial syndrome) yang tebal bersarang bersama kita, sebenarnya.

Sama seperti negara ini memenjarakan penganut-penganut Syiah, menafikan hak mereka untuk belajar di universiti Islam kita atau memecat mereka daripada menganggotai PAS.
Hakikatnya, walau bagaimana nakal dan jahatnya ‘anak’ kita, “air dicincang, tidak akan putus.”

Sepotong tazkirah dari lagu dalam filem ‘Ada apa dengan Cinta’, “jujurlah pada hatimu…” Untuk apa kita berpura-pura?


Oleh Fathi Aris Omar, asalnya berjudul "Islam Liberal wacana terdesak" diterbitkan di Malaysiakini.com (16 Mei 2005). Kemudian diterbitkan kembali di Ummah Online (laman web lama)

1 comment:

Anonymous said...

Teruskan menyalak, fathi...teruskan menyalak...