Monday, April 30, 2007

Kenapa budak sains suka usrah?

Artikel pendek ini, antaranya, cuba menjawab pertanyaan "kenapa pelajar yang mengambil sains tulen, perubatan atau kejuruteraan mudah terlibat dengan gerakan Islam, usrah atau pemikiran fundamentalisme Islam"?

Marilah kita bahaskan persoalan ini. Rujuk juga edisi Inggeris seperti pautan di kaki artikel tersebut.

Selamat membaca dan mengkritik. Fathi Aris Omar



Pabila Galileo Bertemu Allah
Oleh FARIDA FAOUZIA CHARFI

Kebanyakan negara-negara Arab hari ini melalui krisis politik dan kebudayaan yang teruk. Setelah kegagalan nasionalisme Arab dan lenyapnya khayalan pertumbuhan pesat ekonomi dan sosial, sebahagian masyarakatnya mencari penawar dengan cara kembali kepada perkara kudus.

Bagi sesebuah masyarakat tradisional menerima modeniti bererti menerima kegelinciran yang disebabkan oleh apa juga perubahan radikal. Pengalaman buruk ini mungkin dapat ditanggung sekiranya ituah harganya pembangunan. Tetapi, sekiranya proses pembangunan terbukti tak terjangkau, segalanya menjadi pahit. Memandangkan pembaikan ekonomi tidak berlaku pada masanya dan sebagai yang dijanjikan dunia Arab-Islam, tradisionalis konservatif mengambil kesempatan ini untuk menyebarkan ideologi fundamentalis dengan paksaan. Revolusi Iran atau rampasan kuasa oleh Islamis di Sudan terjadi menurut dinamik ini. Di tempat-tempat lain, Islamis juga cuba memaksakan aturan agama mereka melalui kekerasan.

Pembunuhan para intelektual dan orang asing di Mesir atau Algeria, sebilangan hukuman bunuh yang dijatuhkan terhadap para penulis — semua berpunca dari amalan yang dahulu kita sangkakan telah ditinggalkan. Tindakan-tindakan ini menunjukkan bahawa para fundamentalis terkurung dalam sebuah dunia yang asing bagi manusia moden; ia memperlihatkan kepalsuan dakwaan para fundamentalis bahawa mereka menyokong kemodenan, ilusi yang dikongsi bukan saja oleh para penyokong mereka yang terpedaya tetapi juga dipercayai oleh sebilangan pemerhati Barat yang mengalu-alukan budaya yang mereka pandang sebagai penemuan semula keaslian budaya-budaya yang telah dinyahjajahkan.

Di negara-negara berkenaan di mana fundamentalisme telah mencengkam kalangan muda di universiti-universiti, jika diperhatikan para pelajar fundamentalis merupakan majoriti di fakulti-fakulti sains. Situasi ini mengejutkan para pemerhati Barat kerana mereka cenderung untuk percaya yang minda saintifik semestinya moden.

Selayang pandang, seseorang menjangkakan majoriti fundamentalis di kalangan ahli fekah dan persuratan kerana bidang sains kemanusiaan dan sains sosial, tidak seperti sains fizikal, dapat menyediakan jalur perhubungan dengan masa lalu.

Bagaimanapun, ia hanya merupakan paradoks yang jelas. Sains kemanusiaan, sastera, dan falsafah membolehkan permasalahan dilihat secara global dalam masa, menerusi sejarah idea, dan dalam ruang, menerusi kajian perbandingan tentang tamadun-tamadun berlainan. Dengan demikian, bidang-bidang ini menggalakkan keterbukaan minda. Sains tulen tentunya juga dapat memastikan keterbukaan minda seperti itu tetapi itu hanya jika ia diajar dalam cara yang betul dan sekiranya ia tidak dipisahkan dari teori sehingga yang tinggal dalam kandungannya hanya teknik. Selain itu, menurut pemerhatian, fundamentalis lebih ramai dalam jurusan kejuruteraan berbanding sains. Dalam ertikata lain, mereka lebih merupakan pengguna natijah sains dan bukannya pencipta.

Berlawanan dengan apa yang mungkin dijangkakan orang, pendidikan saintifik tidak bersamaan dengan modenisasi minda
. Dan Islamis tidak begitu dapat menyesuaikan diri dengan kemodenan.

Bahkan, tradisionalis dan Islamis menolak asimilasi kerana matlamat mereka adalah di sebaliknya: untuk mendapat kuasa pemerintahan negara demi “mengislamkan semula” masyarakat yang telah dirosakkan oleh nilai-nilai Barat.

Seperti disebut Olivier Roy, Islamis tidak menyokong sebuah “pengembalian” kepada apa yang telah wujud sebelum ini seperti yang disuguhkan oleh para fundamentalis; sebaliknya mereka cuba melakukan “penyesuaian semula secara politik masyarakat dan teknologi moden.” Secara ringkas, fundamentalis Islam mahu mentadbir masyarakat dengan idea lampau dan kemudahan teknikal kemodenan.

Sewaktu pertemuan pra-pilihanraya pada 1991, para pemimpin fundamentalis Algeria tidak teragak-agak menggunakan teknologi laser untuk melakarkan pada awan di langit kalimat suci “Allahu Akbar” untuk membuatkan khalayak percaya bahawa mereka sedang berbicara secara langsung dengan Tuhan.

GALILEO BERTEMU ALLAH Pada dasarnya, para fundamentalis Islam tidak mengakui asas-asas teori sains moden. Mereka menolak budaya saintifik moden dari puncanya lagi — apabila Bumi pertama kali dipancut keluar dari kedudukannya yang sentral di dalam kosmos.

Model Ptolemy, diterima selama 14 kurun di seluruh lembangan Mediterranean, pertama kali dibersihkan dari ruang-ruang cakrawala tetap di mana bintang-bintang berada, yang, kerana sifatnya yang jelas tidak berubah, merupakan simbol kesempurnaan dan ketuhanan. Copernicus menurunkan darjat bumi menjadi hanya sebuah planet, setaraf dengan planet-planet lain di dalam sistem solar. Sekitar tahun 1915, Shapley “mengalih” kedudukan sistem solar daripada kedudukan di pusat galaksi kepada pinggir. Matahari baginya cuma salah satu di antara berbilion bintang yang mendiami galaksi, bukan wajah Tuhan yang tidak berubah. Menerusi cara-cara ini sains moden memusnahkan sistem rujukan istimewa yang dikemukakan agama.

Masyarakat Islam tidak memberi sumbangan kepada penguasaan pengetahuan ini. Ia diam di luar kegiatan penyelidikan yang menjadi asas kemodenan saintifik.

Satu bentuk reaksi Islamis terhadap ketinggalan mereka dalam melakukan penemuan penting dan penakrifan semula sains moden ialah dengan melebih-lebihkan sumbangan Arab dalam bidang sains dan meluahkan keraguan terhadap sumbangan sebenar Barat terhadap kemajuan saintifik. Ia akan sungguh-sungguh menegaskan bahawa hukum optik yang disebutkan Descartes seluruhnya merupakan buah dari hasil kerja Ibn al-Haytham. Benar bahawa sains matematik telah berkembang kerana sumbangan Arab, tetapi sumbangan mereka dalam bidang astronomi telah dilebih-lebihkan. Mereka menghasilkan peralatan astronomi dan mengayakan repertoir pengkajian astronomi.

Bagi saintis moden, walaupun sumbangan ini bermakna, ia bukan penentu. Hakikatnya, Arab tidak pernah mengemukakan sebarang pandangan baru tentang dunia; mereka tidak pernah mencabar model lama Ptolemy.

INGATAN MEMILIH-MILIH PUAK ISLAM Sesuatu yang amat penting dalam hubungan ini ialah fundamentalis tidak memeluk seluruh warisan Islam, khususnya falsafah rasional yang didukung oleh Ibnu Rusyd (kurun ke-12), yang disebut sebagai Averroes oleh bangsa Latin. Ibnu Rusyd terkenal kerana ulasannya terhadap tulisan-tulisan Aristotle dan kerana hasil kerja falsafi beliau yang telah membawa kepada pemisahan antara iman dan pengetahuan, antara agama dan falsafah.

“Tidak ada yang dapat menjadi bukti lebih baik bagi kepintaran ilahi dari susunan alam semesta,” tulis Ibnu Rusyd. “Susunan alam semesta dapat dibuktikan oleh akal. Menafikan sebab akibat (causality) bererti menafikan kepintaran ilahi, kerana sebab akibat adalah hubungan yang perlu. Fungsi akal ialah untuk menemukan sebab akibat dan apa yang menafikan sebab akibat bererti menafikan akal dan tidak memahami sains dan pengetahuan.” Ini kata-kata yang dituliskan Ibnu Rusyd dalam karya terkenal beliau, “Tahafut al-Tahafut” (Kerancuan dalam Kerancuan Para Filasuf), sebagai jawapan kepada karya al-Ghazali (kurun ke-11) “Tahafut al-Falasifah” (Kerancuan Para Filasuf).

Dengan mengakui bahawa hukum ilahi menuntut kajian rasional ke atas benda-benda dan di sana, dengan itu, tidak ada pertentangan antara hukum ilahi dengan falsafah, Ibnu Rusyd menyediakan jawapan terhadap pandangan-pandangan anti-rasional Ghazali.
Bagi Ghazali, dunia ini tidak abadi. Tuhan telah wujud tanpa dunia dan kemudian wujud bersama wujudnya dunia. Kehendak-Nya adalah bebas dan tidak terikat. Tuhan merupakan satu-satunya punca bagi setiap benda dalam dunia ini.

Dalam Tahafut al-Falasifah, Ghazali menolak semua ketundukan alam kepada hukum-hukum yang mengikat kehendak Tuhan. “Alam semesta adalah voluntari. Ia merupakan ciptaan tetap Tuhan dan tidak menurut sebarang norma…tuan pertama adalah Tuhan dan pengetahuan diberikan menerusi wahyu pada permulaan dan seterusnya menerusi para nabi…”

Bagi Ghazali, pengetahuan hanya tumbuh dari wahyu: “…prinsip sains tabie ialah untuk mengakui bahawa alam berkhidmat kepada Tuhan: Ia tidak bertindak dengan kerelaan sendiri sebaliknya untuk berkhidmat kepada penciptanya. Dengan cara inilah matahari, bulan, bintang dan unsur-unsur tunduk kepada perintah ilahi: tidak ada padanya yang membenarkannya bertindak spontan…Walaupun tidak berkaitan agama, matematika adalah asas sains-sains lain. Dengan itu, orang yang mempelajarinya menghadapi risiko dijangkiti kejahatan-kejahatannya. Hanya sedikit yang dalam melakukan pengiraan tanpa terdedah kepada bahaya kehilangan iman.”

Pandangan al-Ghazali hadir dalam wacana para fundamentalis hari ini. Mereka enggan mengakui bahawa manusia telah merumuskan representasi alam berdasarkan penemuan hukum-hukum fizik asasi. Mereka tidak dapat menerima bahawa keupayaan sedemikian dianugerahkan kepada manusia.

Bagi para fundamentalis, semua misteri alam telah dijelaskan dalam Quran. Tuhan mentadbir alam yang, dengan itu, kawalan-Nya tidak boleh ditentukan oleh hukum fizik yang berfungsi secara berautonomi. Pandangan Ghazali dan para fundamentalis dibantah oleh konsepsi Ibnu Rusyd: “Punca penolakan mereka terhadap sebab akibat tabie terbit daripada rasa takut mengetahui bahawa dunia lahir dari sebab tabie dan [alangkah baiknya] jika mereka mengetahui bahawa tabie dicipta dan tidak ada bukti lebih baik akan kewujudan Pembuat selain kewujudan objek yang tersusun sempurna ini…”

Ibnu Rusyd dihukum kerana pandangan-pandangannya. Dia dibungkam diam. Banyak bukunya dibakar. Mumpung, karya-karyanya kemudian ditemui semula dan diterjemah ke bahasa Ibrani dan Latin di Barat.

Selama beberapa kurun di dunia Muslim, pemikiran Ghazali menguasai. Para fundamentalis dengan itu memilih teknologi berbanding sains yang menggalakkan pemikiran. Secara paradoks, tulisan-tulisan seorang yang seperti Ibnu Rusyd yang telah berusia lebih 10 kurun lebih sejajar dengan semangat rasional zaman kita berbanding pandangan yang sekarang ini dipegang oleh Islamis yang “saintifik”.

Pada hujung kurun ke-20, sulit untuk tidak mengiktiraf kemajuan, sebagai contoh, dalam bidang fizik atau biologi. Islamis mengakui perkara yang tidak mengandungi risiko mencabar penjelasan yang diberikan kitab-kitab agama. Hasil kemajuan dalam bidang biologi, mereka rela mengekalkan kesan dari perkembangan perubatan; tetapi teori evolusi spesis tidak perlu diajar. Hasil kemajuan dalam bidang fizik, pembangunan pesat komunikasi dengan rela dibiarkan, tetapi gusar dengan nilai kelajuan cahaya yang boleh dihitung dan ditentukan.

Untuk menerima hanya sebahagian hukum asas fizik sama seperti menganggap seluruh teori tidak koheren. Langkah rasional adalah dengan mengemukakan teori lain yang koheren secara logik; ini menuntut analisis ke atas prinsip-prinsip yang melapisi teori dan hubungannya, bukan dengan sekadar menolak sebahagiannya. Untuk menjalankan tugas sedemikian, minda terbuka yang bebas dari segala kekangan adalah perlu.

Untuk meneroka, memahami, mengritik, membuat pembaharuan, mencipta tanpa melarang sebarang pertanyaan, tanpa mengharamkan sebarang bidang dan membiarkan imaginasi bergerak bebas — semua ini menunjukkan bahawa seseorang telah membebaskan diri dari semua dogma. Malangnya bukan ini yang terjadi di dunia Islam di mana rujukan terhadap yang kudus tidak dapat tidak mesti dibuat dan perkara paling betul dibuat secara sosial ialah akur dengan Islam berbanding mempercayai Tuhan.

ATAS NAMA TUHAN Atas alasan merujuk kepada “yang kudus” pengetahuan saintifik dikudungkan. Atas nama yang sama juga kebebasan ekspresi dan imaginasi dibataskan ke tahap menghukum bunuh penulis-penulis.

Atas nama “yang kudus”, pada Jun 1992, militan Mesir membunuh Farag Rouda, penulis yang mereka hitung sebagai murtad. Atas nama Tuhan para fundamentalis melancarkan kempen ke atas profesor Nasr Hamed Abou Zeid, juga dituduh murtad, agar dia diceraikan daripada isterinya. Tindak-tindak sebegini mendedahkan kepada semua kita bagaimana fundamentalisme merendahkan kecerdasan otak ke tahap reflek emosi dan luapan.

Langkah tidak rasional meliputi kekangan terhadap kemajuan budaya dan saintifik negara-negara Islam di mana pemikiran saintifik dalam banyak sudut kurang bebas berbanding beberapa penggal tertentu dalam Abad Pertengahan. Di Eropah Kristian sejak kurun ke-13 pemikiran moden dibangunkan. Ia memberi laluan daripada kitab suci kepada teks yang ditafsirkan, berevolusi, dan justeru itu membuka ruang untuk akal.

Dalam kajian perbandingan Islam dan Kristian disebutkan bahawa titik sampai Islam merupakan titik berlepas Kristian. Sejarah pembukaan dalam Kristian menjadi sejarah penutupan dalam Islam.

Masa tiba lagi untuk menghidupkan semula Ibnu Rusyd bagi “membuka” Islam sepertimana Galileo memberi kesan besar terhadap perkembangan pemikiran saintifik moden. Sekiranya Islam tidak mampu dalam era ini untuk memisahkan pengetahuan dari kepercayaan, ia akan mendapati dirinya semakin jauh terpisah dari baki dunia yang berlumba memasuki kurun seterusnya.

(Teks asal berbahasa Inggeris di sini New Perspectives Quarterly, Winter 2002, Vol 19 #1)

FARIDA FAOUZIA CHARFI adalah profesor di Fakulti Sains, Institut Preparatoire aux Etudes Scientifiques, Tunisia. Beliau merupakan antara saintis wanita Afrika Utara yang paling lantang. Asalnya diterbitkan di Jalan Telawi.com 13 Disember, 2005.

Monday, April 23, 2007

Usrah membodohkan, ahli tidak berfikir?

Sebagai sambungan, dan bahan bahan bacaan sokongan, bawah tajuk penilaian semula institusi usrah dan bagaimana institusi ini telah berjaya melemahkan, atau melembikkan, generasi muda terpelajar Melayu-Muslim, berikut saya terbitkan kembali artikel lama saya.


Bagaimana usrah membodohkan ahli-ahlinya
Oleh FATHI ARIS OMAR

“[As] a thinker it is his great duty his first duty to follow his intellect to whatever conclusions it may lead. Truth gains more even by errors of one who, with due study and preparation, thinks for himself, than by the true opinions of those who only hold them because they do not suffer themselves to think.” --- John Stuart Mill dalam On Liberty.

"Immaturity is the inability to use one's understanding without guidance from another. This immaturity is self-imposed when its cause lies not in lack of understanding, but in lack of resolve and courage to use it without guidance from another. Sapere Aude! [dare to know] "Have courage to use your own understanding!"-- that is the motto of enlightenment. Laziness and cowardice are the reasons why so great a proportion of men, long after nature has released them from alien guidance, nonetheless gladly remain in lifelong immaturity, and why it is so easy for others to establish themselves as their guardians. It is so easy to be immature. If I have a book to serve as my understanding, a pastor to serve as my conscience, a physician to determine my diet for me, and so on, I need not exert myself at all. I need not think, if only I can pay: others will readily undertake the irksome work for me." --- Immanuel Kant dalam What is Enlightenment? .


‘Memperbodoh-bodohkan’ orang ramai topiknya luas dan boleh dilihat dari pelbagai penjuru. Misalnya, asal-usul pembodohan, teknik-teknik atau keadaan-keadaan proses ini terbentuk, dan juga reaksi orang ramai.

Tetapi saya ingin menarik kepada satu persoalan yang paling asasi: hubungan antara ‘kemahuan berfikir’ dengan pembodohan. Bagi saya, pembodohan membentuk budaya bersama atau sejenis social conditioning; yakni, rasa tidak perlu berhujah, berbeza pandangan, mempertikaikan sesuatu maklumat yang disogokkan atau mencabar kelaziman serta ‘tradisi’.

Ia mematikan keghairahan berfikir, serta menumpulkan minda, mula-mula secara kolektif, kemudian secara peribadi. Mula-mula di kalangan pengikut kelompok dominan, kemudian kepada penentangnya [yakni: penentang kelompok dominan] dan akhir sekali di kalangan pengikut penentang itu sendiri. Pembangkang kemudiannya mewarisi pembodohan yang tidak disukai itu.

Semangat berfikir kritis hanya ditujukan kepada kerajaan dan masyarakat (mereka ini semuanya salah); penyokong pembangkang tidak berfikir tentang parti atau pemimpinnya sendiri (konon semuanya betul), sama seperti teman-teman kita – mungkin – tidak boleh mengeluarkan idea yang lebih baik daripada hujah sedia ada (yang kita lontarkan).

Aktivis dan pemimpin pembangkang juga gagal melihat serta membedah sesuatu yang lebih abstrak daripada tindakan politik, kenyataan pemimpin kerajaan atau perundangan. Soal nilai, budaya atau ‘ikatan seni’ yang mengawal minda, gelagat, minat atau naluri bangsa ini gagal dibedah siasat.

Jika ada, itu semua teori yang dilontar semula daripada buku-buku; bukan kefahaman mereka yang asli tentang negara ini. Saya tidak fikir mereka faham dan saya tidak nampak mereka sedar bahawa inilah kelemahan asasi mereka dalam perlawanan dengan Barisan Nasional dan institusi-institusinya. Bagi saya, ini semua akibat-akibat nyata ketumpulan minda.

Malah, ada di kalangan mereka bersikap anti-ilmu; tidak tahu meletakkan hubungan antara ‘teori’, ‘kritik’, ‘konsep’, ‘kajian’, ‘idea’, ‘falsafah’ atau kegiatan ‘intelektual’ dengan gerak kerja perjuangan.

Sering kita dengar, dengan nada jengkel atau sinis, “awak kritik saja, memang mudah”, “kita tidak perlu intelektual yang pandai berteori” atau “teori banyak-banyak pun tidak guna, yang penting pelaksanaan”. Sedarkah mereka nada seumpama ini lahir akibat pembodohan?

Proses keseluruhan pembodohan melalui pendidikan, undang-undang keras (yang menyekat debat awam) dan juga laporan media, akhirnya menimbulkan gejala paling berbahaya – merebaknya gejala ketiadaan atau kelemahan minat untuk berfikir.

Maksudnya, berfikir di luar batasan persoalan diri, berfikir soal-soal yang lebih abstrak dan menyentuh ruang lingkup bermasyarakat atau isu-isu kenegaraan. Mahu atau tidak, semua orang berfikir – fakta ini pasti – khasnya untuk mengatasi persoalan peribadi, seperti kelaparan atau kekasih merajuk.

Kerancakan debat awam – dianggap unsur penting penyertaan dalam proses demokrasi – tidak akan mungkin tanpa keinginan untuk berbeza pandangan dan kebebasan berfikir individu.

Tetapi kebebasan berfikir itu sendiri hanyalah sejenis proses lewat (kalau bukan akhir) daripada: (a) keyakinan berfikir, khususnya secara awam dan sebelum itu, (b) kemahuan berfikir, secara senyap-senyap dan bersendirian sifatnya.

Di Eropah abad ke-18, ketika asas-asas sains moden mula berkembang, sains masih dianggap sebahagian cabang falsafah tabii, rasa ingin tahu (curiosity) jadi bahan ketawa. Mereka yang suka menyelidik alam semula jadi – bagi melayan rasa ingin tahu (asas utama penerokaan sains dan pemikiran) – dianggap kegiatan orang malas dan tidak berakal!

Charles Linnaeus, ahli sains Sweden yang mengasaskan sistem pengkelasan sains hingga dipakai ke hari ini, pada 1740 terpaksa menulis bagi menjawab sikap sinis masyarakatnya: “… satu soalan yang sering ditanya, satu sanggahan yang sering dibuat terhadap ahli sains yang ghairah mengkaji alam tabii, apabila orang yang rendah pelajarannya melihat ahli falsafah tabii memeriksa hasil-hasil alam.

Orang ramai bertanya, selalunya dengan ketawa menyindir, ‘apa guna buat kerja ini’ … Orang seperti itu beranggapan falsafah alam tabii sekadar melayan rasa ingin tahu, hanya sejenis hiburan untuk membazir masa bagi golongan yang malas dan tidak berotak.”

Sebelum Zaman Pencerahan, beratus-ratus tahun sejak Zaman Pertengahan dan Renaissance, melayan rasa ingin tahu secara intelek (intellectual curiosity) dipandang buruk. Ia dianggap sejenis hawa nafsu (dan juga dosa) yang menyebabkan Adam dan Hawa tercampak ke bumi (selepas memakan sejenis buah di syurga).

Imej negatif ini berakar umbi begitu mendalam melalui penulisan-penulisan agama sehingga pemikir besar Jean-Jacques Rousseau terpaksa berhujah betapa mustahaknya rasa ingin tahu (dan berfikir) untuk menajamkan ilmu dalam risalah pendidikannya yang masyhur, Emile (terbit 1762).

Proses pembodohan dalam masyarakat kita membawa natijah yang serupa dengan pengalaman Eropah ini – ia berjaya membunuh rasa mahu berfikir, bertanya atau mempertikai. Di sini bermula kelumpuhan pemikiran, mematikan ‘rasa yakin akal’ (asas kemerdekaan diri) atau kesan akhirnya, ketandusan debat awam.

Kebebasan berfikir itu sendiri (selalu dirangkum bersama kebebasan beragama atau kesedaran nurani) sejenis tuntutan akibat ingin berbeza anutan, khususnya agama, dalam sejarah Eropah. Ia akhirnya diiktiraf sebagai satu hak asasi setelah wujud keinginan serta keyakinan yang kuat untuk berbeza anutan (termasuk tidak menganut apa-apa!).

Tuntutan kebebasan, apa juga bentuk, selalu muncul akibat rasa ingin bebas yang telah meronta-ronta, tidak tertahan-tahan lagi. Tetapi projek pembodohan Dr Mahathir Mohamad membunuh benih asas ini, ‘rasa ingin’ – sama ada bebas atau berfikir. Juga, membunuh kecemerlangan seperti kritik Khalid Jaafar tentang “kelaihan (mediocrity)… [sebagai] menjelaskan makna sebenar Mahathirisme.”

Penyakit yang sama akibat pembodohan ini, termasuk tidak cemerlang khasnya dalam bidang pemikiran, merebak di kalangan aktivis pembangkang, pemimpin siswa dan juga penggerak Reformasi. Misalnya, ia timbul melalui rasa malas membaca atau mudah berpuas hati dengan pandangan yang selapis, cetek dan permukaan.

Atau, ketika berdiskusi atau bermesyuarat, mereka gagal berhujah dengan lebih mendalam dari pelbagai penjuru dengan sokongan fakta atau sudut pandangan yang lebih bernas. Oleh itu, tidak berlaku percambahan, serta kepelbagaian idea atau semakan-semakan semula hujah yang sudah klise atau stereotaip. Tiada proses ‘peningkatan kebernasan idea’ – yang dianggap asas penolakan kedepan peradaban manusia.

Semua ini terjadi akibat hilangnya proses penerokaan akliah; proses ini datang bersama kemahuan yang kuat untuk berfikir, rasa seronok melayan fikiran apabila dihadapkan dengan persoalan mental walau ia waktu-waktunya membingungkan. Tetapi kebingungan itu tidak menjadi halangan; rasa asyik itu yang lebih kuat. Ia semacam rasa puas – dalam satu ‘permainan’ – untuk mencari ‘jawapan’ terhadap sesuatu kemusykilan.

Bagi mangsa pembodohan, kemusykilan itu sendiri – atau bagi seorang aktivis, permasalahan masyarakat dan bangsa – gagal dirumuskan! Tidak muncul rasa resah ingin meneroka pemikiran sendiri.

Sebab itu, dalam pertemuan petang itu, saya katakan pada Hishamuddin Rais, “dalam bangsa yang beku pemikirannya, soalan yang betul dan paling asasi (untuk mengatasi kebekuan itu sendiri) tidak mampu ditanya!” Dia pun ketawa besar, bersetuju.

Gejala ini tidaklah terlalu pelik, sesiapa yang pernah membaca ‘teori’ kelumpuhan paradigma seperti karangan Joel Arthur Barker, Paradigms: The business of discovering the future akan faham kesan buruk seumpama ini.

Masyarakat tanpa kaum intelektual yang berkesan [dan juga malas] tidak mampu merumuskan masalah,” kata profesor Syed Hussein Alatas dalam bukunya Intelektual Masyarakat Membangun (asal, Intellectuals in Developing Societies).

Ciri utama [individu serta kelompok] bukan intelektual adalah tidak adanya kemahuan berfikir dan tidak mampu melihat akibat [ketika proses berfikir].”

Ertinya, mangsa proses pembodohan Dr Mahathir tidak mungkin mencari punca kebodohannya sendiri! Mereka seolah-olah terkena sejenis dadah ‘scopolamine’ (dari pokok borrachero yang banyak tumbuh di Colombia).

Mangsa akan mengikut apa sahaja kemahuan atau perintah orang lain. Mangsa tidak sedar apa-apa yang pernah terjadi ketika di bawah pengaruh dadah ini.

Berbeza dengan dadah jenis-jenis lain, scopolamine menghalang pembentukan memori dalam otak manusia. Mangsa tidak mungkin mengenali siapa penganiayanya. Walau melalui proses hipnosis, mangsa tetap gagal mengingati apa-apa kerana ingatan tidak pernah dirakam dalam minda.

Persoalan seterusnya, bagaimana menumbuhkan minat serta kemahuan untuk berfikir? Kita tahu kesan lanjut jika ada kemahuan ini. Ia dapat diukur daripada pengucapan (rumusan) persoalan tertentu, beberapa analisa yang tersusun-jalin (walau tidak mesti lengkap) dan proses pencarian akliah yang serius, sama ada pembacaan, pertanyaan atau berdiskusi.

Pembangkang tidak boleh lagi menyumbat maklumat kepada rakyat kerana ia sejenis permainan membodohkan bangsa sendiri. Kaedah pendidikan jenis suapan (spoon-feeding), hafalan dan banjiran maklumat seperti di sekolah dan kampus sudah cukup merosakkan. Permainan ini sejenis alat kawalan atau saluran taklukan ke atas kita semua.

Permainan ini tidak boleh sama sekali diteruskan selepas tamat pengajian rasmi, khasnya di kalangan aktivis, profesional atau penulis – mereka nanti gagal berperanan sebagai anasir berfikir yang boleh diharapkan untuk mereformasikan masyarakat dan menolak kemajuan idea bangsa lebih kedepan. Mereka harus diasah berfikir sendiri – dengan yakin.

Dalam renungan John Stuart Mill: “[As] a thinker it is his great duty his first duty to follow his intellect to whatever conclusions it may lead. Truth gains more even by errors of one who, with due study and preparation, thinks for himself, than by the true opinions of those who only hold them because they do not suffer themselves to think.”

Namun, penghujahan Mill berikutnya semacam ada ‘pertentangan’ di negara ini, khasnya di kalangan aktivis pembangkang, pemimpin siswa dan juga penggerak Reformasi.

Kenapa krisis politik sehebat tempoh 1998-2003, kontroversi dan pengalaman bergaul dengan aktivis lama (banyak membaca, berpengalaman atau aktif berfikir) gagal merangsang aktivis muda agar berfikir lebih rancak dan berdikari (terasa ada jurang antara mereka dengan anak muda)? Kalau begitu, di mana bermula kemahuan untuk berfikir?

Mill menulis lagi, dalam On Liberty: “Where there is a tacit convention that principles are not to be disputed; where the discussion of the greatest questions which can occupy humanity is considered closed, we cannot hope to find that generally high scale of mental activity which has made some periods of history so remarkable.

Never when controversy avoided the subjects which are large and important enough to kindle enthusiasm, was the mind of a people stirred up from its foundations, and the impulse given which raised even persons of the most ordinary intellect to something of the dignity of thinking beings.”

Jika kita bersetuju bahawa projek pembodohan Dr Mahathir telah mematikan semangat mahu berfikir dengan yakin, kenapa kita sendiri gagal merangsang minat berfikir – melalui aktivisme, tulisan dan ucapan kita?

Bagaimana menumbuhkan minat serta kemahuan untuk berfikir? Kerancakan berfikir – melayan rasa ingin tahu seperti di Zaman Pencerahan – bermula dari mana, sebenarnya?

Asalnya bertajuk Asal-usul 'pembodohan' Umno, diterbitkan dalam Malaysiakini.com, 25 Ogos 2003

Sunday, April 15, 2007

Bahaya 'semangat bersatu' Melayu

Manusia tidak boleh diseragamkan oleh tekanan ramai. Dari celah empangan besar itu, retak akhirnya menanti belah. Jika terdesak, mereka harus seperti “aku ini binatang jalang, dari kumpulannya terbuang”.

Dua bait puisi Chairil Anwar ini pemberontakan pada kolektivisme, penegasan ‘kembali’ semangat individu atau keyakinan diri. Kerana rupa-rupanya individu tidak mati dan enggan mati di bawah tapak kaki ramai – ia mahu terus meronta-ronta. Bagaimana seragamnya sesuatu langkah diambil, akan ada usaha keluar daripada keseragaman itu.

Tetapi nilai kolektif Melayu, Timur, Islam atau Asia itu hanya sejenis kepura-puraan bersama untuk menguasai golongan lemah tanpa rukun hidup yang jelas. Pendek kata, tanpa panduan hukum. Disebut ‘kepura-puraan’ kerana ia diwarisi tanpa perbahasan atau teori mendalam, tanpa meneliti ragam perubahan dalam masyarakat kita sendiri.

Semangat kolektif di negara ini dianut sampai meleburkan kebebasan individu (atau kelompok kecil), sampai melemahkan fikiran kritis-kreatif, sampai meremehkan debat terbuka dan mengekang kebebasan bersuara, sampai melahirkan watak-watak pemimpin diktator (di banyak peringkat).

Sehingga kejujuran di negara kita harus berbisik-bisik, rasa kebenaran dan keadilan ditelan kembali ibarat ludah yang tidak jadi. Kewarasan dan kewajaran mati di halkum. Di tengah-tengah keadaan seburuk ini, kita masih tetap menganjurkan agar kolektivisme (agama atau negara), bukan individualisme, itu diperkuatkan lagi!

Johan Jaaffar, ketika membahaskan kegagalan Kuala Lumpur sebagai ‘kota budaya’ setahun lalu, pernah menulis bahawa seniman dan sasterawan kita perlukan sejenis kebebasan “tetapi tentunya dalam kerangka yang munasabah dan berpatutan.”

Profesor Mohd Safar Hashim, dalam sesi dialog tentang majlis media anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Januari tahun lepas, memetik fasal 10 perlembagaan dengan niat memperingatkan kita semua – kononnya kebebasan itu tidak ‘mutlak’ tetapi harus dibataskan atau bersama tanggungjawab kolektif.

Dalam pembentangannya di Bangkok (September 2002) atau ketika diundang dalam forum malaysiakini.com selepas semua komputer akhbar web ini dirampas (awal 2003), profesor komunikasi ini tidak pernah mungkir membacakan mantera yang sama.

Tidak kurang juga wacana-wacana di kalangan sasterawan kita di Rumah PENA (Persatuan Penulis Nasional) – sentiasa ada nada bimbang atau prasangka terhadap tema kebebasan (kreatif) atau hak asasi dalam hubungannya dengan kekangan kerajaan saat ini. Maka, muncullah kata ‘kebebasan itu tidak mutlak’.

Ketiga-tiga kes ini sengaja diulang di kolum ini untuk menunjukkan budaya kongkongan kolektif itu, khususnya kuasa negara, telah berjaya membunuh kejujuran dan akal kritis individu. Individu terkepung di dalam budaya kolektif yang buruk ini.

Mereka masih mendendangkan irama yang sama – kebetulan tema ini disebarkan oleh pemimpin negara di media-media harian – tanpa melihat perubahan persekitaran semasa.

Johan berpura-pura tidak nampak kekangan berlebihan, tidak masuk akal dan tidak berpatutan dalam garis panduan pementasan pentas, tapisan filem atau gam lagu.

Mohd Safar, dalam analisanya, memejamkan mata terhadap keseriusan kekangan media oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap Eksklusif, Perdana Sari, Al-Wasilah, Detik atau Harakah. Penarikan permit penerbitan semua media tempatan itu (kecuali Harakah) tidak dapat dipertahankan lagi oleh sesiapa kecuali tindakan ini semata-mata sejenis kejahatan negara.

Jadi, apakah masih tergamak mereka berhujah “kebebasan itu ada batasannya” atau “kebebasan itu harus munasabah dan berpatutan”? Tidakkah ada sekelumit ‘rasa adil’ dalam diri mereka untuk melihat isu-isu ini dengan lebih luas dan menyeluruh?

Dua tokoh ini malu-malu dan berbisik-bisik (atau takut?) mengungkapkan tekanan tidak berimbang pemerintah itu. Ketakutan itu sendiri sudah cukup menunjukkan bahawa betapa jahatnya kekangan negara atau budaya kolektif!

Tidak seperti dalam pengalaman Barat (atau Eropah), kebebasan memilih agama, hak asasi, kebebasan individu, atau kebebasan bersuara (pendek kata, individualisme) dirumus dalam masa yang cukup panjang selepas tragedi-tragedi kemanusiaan akibat kolektivisme (kerajaan dan agama).

Apabila individualisme memuncak, tidak terkawal, muncul pula kesedaran kolektif (terlihat dalam faham sosialisme atau komunisme). Tetapi akibat sudah melampau, semangat kolektif komunisme akhirnya runtuh tidak sampai 100 tahun. Apabila semangat liberal individualisme sudah mula merembes ke sisi-sisi ekstrem, sekarang muncul pula faham komunitarianisme.

Tetapi, menariknya di Barat, dinamika individu dan kolektif bukanlah akibat campur tangan pemerintah, tetapi kesedaran dari dalam masyarakat itu sendiri – cendekiawan, aktivis, seniman, agamawan, ahli akademik, wartawan dan penggubal-penggubal dasar. Tenaga masyarakat sendiri yang memantau sisi-sisi buruk individualisme dan kolektivisme (misalnya, gejala terkekang yang sedang membudaya akibat tragedi 11 September di Amerika Syarikat saat ini).

Di negara kita, sesiapa sahaja yang dipengaruhi faham tradisi (seperti kesasteraan atau kesenian), agama (aktivisme dakwah) atau politik (sama ada kerajaan atau pembangkang) – pastilah akan menganjurkan tekanan kolektif (baca: negara) walau sudah terbentang akibat buruknya (malah, belum dipecahkan dan diatasi).

Debat individualisme tidak digali cukup mendalam dan, dengan itu, tidak difahami. Muncullah pandangan-pandangan ganjil ke arah menguatkan lagi kuasa negara, kawalan polis dan mengetatkan perundangan.

Masyarakat tidak pernah dianjurkan untuk mengawal diri sendiri. Masyarakat diragui kemampuannya untuk mengawal atau mendisiplinkan diri mereka sendiri – asalnya wacana-wacana negara untuk mengawal orang ramai, sama sahaja di negara kita atau zaman Orde Baru di Indonesia.

Masyarakat dan individu dilayan seperti anak-anak hingusan, harus sentiasa dileteri, dipantau, diarah-arah, dibentak-bentak, diberikan perlindungan dan subsidi dengan syarat sujud ‘bersyukur’ kepada bapa (negara). Inilah model paternalisme, satu kaedah membunuh individu dan melembikkan masyarakat.

Ketika suara kebebasan individu cuba dikumandangkan, seperti memorandum ‘Penduduk Malaysia Menolak Pengawalan Moral’ (MPAMP), dilema inilah yang sedang kami tempuh – individualisme tanpa kawalan dari dalam masyarakat sivil itu sendiri.

Alasan ini mudah pula dijadikan sebab untuk menguatkan lagi kuasa negara! Negara yang pernah melahirkan ‘gejala Dr Mahathir’, arus Reformasi 1998, krisis kehakiman 1988, krisis perlembagaan (sebelumnya), kebekuan akademia, dan senarai skandal-skandal kewangan dan KKN (rasuah, kronisme dan nepotisme) yang serius.

Gejala yang sama muncul di Indonesia – apabila negara melemah, konflik sesama anggota masyarakat menjadi tajam dan porak-peranda kerana selama ini individu dan masyarakat tidak pernah diberikan ruang dan masa untuk menguat atau mengatur diri sendiri. Oleh itu, pengundi ingin kembali kepada negara yang kuat ala Soehartoisme, atau ‘sindrom SARS’ (sindrom aku rindukan Soeharto)!

Negara Orde Baru yang sudah berlebihan kuat itu mahu diperkuatkan lagi, kononnya untuk mengawal keadaan rusuh dan porak-peranda itu. Bagi Ignas Kleden, dalam Menulis politik: Indonesia sebagai utopia (2001), isu sebenarnya bukan kuasa negara, isunya ialah moral pemimpin dan birokrasi negara yang tandus! “Berbagai-bagai masalah telah muncul selama ini bukan kerana power deficit… melainkan moral deficit penyelenggara negara.”

Tahun lepas, diketuai antaranya oleh Subky Latif, PAS mengirim memorandum kepada mufti Wilayah Persekutuan (bukan Kementerian Penerangan?) agar kerajaan mengawal lagi program televisyen kita. Hujah mereka, ibu bapa sekarang terlalu sibuk dan tidak sempat memantau tontonan anak-anak mereka, maka wajarlah negara menolong mengawalnya! Bagi PAS Wilayah Persekutuan, negara dan agama harus menguasai secara mutlak fikiran dan individu. Imaginasi peribadi juga mahu dikawal oleh agama!

Sewaktu memuncak kontroversi ‘pengawal moral’, golongan konservatif (termasuk dekat parti Keadilan) tiba-tiba mengitar semula desakan agar tangan-tangan kekuasaan diperkuatkan bagi mengawal anak muda, individu dan masyarakat – kononnya ‘gejala sosial’ (satu lagi ungkapan sia-sia!) sudah semakin parah dalam masyarakat kita.

(Asalnya disebarkan oleh akhbar-akhbar harian, kemudian diikuti oleh pembangkang dan agamawan, ‘gejala sosial’ diertikan dengan ‘keruntuhan akhlak’. Gejala ertinya fenomena, jadi ‘fenomena sosial’ itu apa maknanya!?)

Kegilaan untuk memasang CCTV (televisyen litar tertutup) juga menjadi-jadi sejak beberapa tahun mutakhir. Pendek kata, kawal, kawal dan kawal! Atas nama ‘pencegahan jenayah’, negara kita semakin mendekati realiti Nineteen Eighty Four, asalnya khayalan kreatif dan kritis George Orwell pada 1948. Novelis ini hanya membalikkan angka ‘8’ dengan ‘4’ untuk meramalkan kejahatan gejala authoritarianisme (tema perjuangan tokoh ini seumur hidupnya, termasuk Animal Farm.)

Apakah sememangnya individualisme tidak akan muncul di negara kita? Atau, individualisme itu nilai dan gejala di Barat sahaja? Pemikir-pemikir Melayu seperti Johan Jaaffar, Mohd Safar Hashim atau Subky Latif itu tidak menyelami satu hakikat, yakni individu itu sendiri ‘tidak wujud’ jika tidak diberikan perlindungan.

‘Personaliti’ (keperibadian unik) seseorang memang wujud, tetapi individu ‘tidak wujud’.

Individu, tanpa paksaan atau tanpa hukum, memang sentiasa ‘tenggelam’ bersama sosialisasi dan pembudayaan kolektif. ‘Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’, kata orang Melayu. Sejak kecil, secara lumrah, individu itu dikekang oleh unsur-unsur kolektif: bahasa, nilai, pendidikan, norma, makanan, pakaian, urusan sehari-hari dan keperluan harian.

Individu sangat lemah, hampir tidak berdaya apa-apa, dalam jaringan kolektif. Individu hanya ada jasad, fikiran, keinginan dan daya usaha tetapi sangat lemah berbanding norma-norma masyarakat, apatah lagi kuasa negara, yang mengepungnya. Individu sentiasa tidak bebas dan tidak mungkin bebas daripada masyarakatnya. Bahasa dan nilai kolektif itu kuat sekali mengikat individu hingga ke dalam jiwa dan akal bawah sedarnya.

Jadi, orang Barat memikirkan satu format perlindungan agar tangan-tangan kolektif (masyarakat dan negara) tidak mencekik individu (yang sememangnya sedia terikat dengan mereka). Jika perlindungan hak individu ini tidak dijamin oleh undang-undang, maka kekuatan kolektif tidak berlaku adil kepada individu.

Sedangkan dengan ruang kebebasannya, individu boleh menyuburkan minat, daya usaha dan tanggungjawab diri (self-discipline). Di ruang ini, manusia dibenarkan berkhayal dan memuaskan diri sendiri sebelum realiti kehidupan (kolektif) memaksanya bersikap realistik, menghormati orang lain dan berumah tangga.

Ia boleh menyuburkan kreativiti, ghairah hidup dan refleksi (merenung) diri. Di sini, individu boleh menyemak kepincangan hidupnya sendiri dan masyarakatnya.

Ruang individu ini ruang santai, ruang pelarian daripada sekatan-sekatan kolektif, secara budaya dan struktural (yang sentiasa terbenam di dalam dirinya). Individu tidak diasak-asak untuk tunduk pada kehendak orang lain setiap saat dan ketika – di mana-mana, seolah-olah dia diburu ketakutan walau dia telah cuba lari ke alam mimpi. Di sini, individu merumuskan kembali dirinya, memikirkan pilihan-pilihan dan kemungkinan-kemungkinan masa depannya.

Maka disuburkan perdebatan dan dicipta mekanisme tentang ruang peribadi (private sphere) dan ruang awam (public sphere). Sebelumnya hanya ada ruang raja (dan gereja) semata-mata dan (tanpa ruang) rakyat; ruang tuan tanah semata-mata dan (tanpa ruang) hamba tanahnya.

Ruang awam itu pula diserahkan kepada individu secara kolektif (masyarakat sivil) tanpa campur tangan berlebihan negara (kuasa politik) atau pasar (kuasa modal). Dalam ruang awam ini, ruang bersama, individu private menjadi kolektif kembali tetapi kolektivisme yang tidak banyak tangan-tangan kekuasaan negara – di sini muncul evolusi amalan dan teori moden ‘masyarakat sivil’. Negara dilarang mengintai, apatah lagi memasukkan tangan-tangannya, di celah-celah kain warganya.

Di sini kemajmukan nilai, gaya hidup dan ‘persaingan’ tentang pilihan-pilihan berlaku ‘lebih adil’ dan terbuka. Di sini ‘pasar idea dan nilai’, ruang promosi ragam-ragam produk budaya dan dibeli mengikut kekuatan akal, bukan kekuatan-kekuatan kuasa dan modal sahaja. Pasar ini yang tidak muncul di negara kita akibat tekanan berlebihan negara, agama, dan tradisi konservatisme Melayu. Kita mengalami ‘defisit’ di sudut ini, ‘defisit individualisme’.

Kosmopolitanisme dan egalitarianisme terkubur tanpa nisannya.

Pendek kata, model berfikir dalam masyarakat Barat itu model ‘semak dan imbang’, hasil renungan mendalam sisi-sisi ekstrem (sama ada individu atau kolektif) dan pemantauan dinamisme perubahan manusia. Di Barat, individu bukan ‘binatang jalang’ Chairil Anwar kerana ada ruang-ruang perlindungan itu. Setiap orang memiliki ruang dan haknya masing-masing.

Oleh Fathi Aris Omar. Asalnya diterbitkan di Malaysiakini.com, 9 Mei 2005

Thursday, April 12, 2007

Ancaman pembiusan agama

Agama boleh membawa kesan pembiusan pada fikiran. Mereka yang terbius minda tidak akan berfikir lagi berkali-kali dengan kritis sandaran-sandaran idea atau kenyataan yang pernah membentuk sesuatu wacana. Sebaliknya, mereka hanya mengitar semula apa yang pernah disampaikan oleh orang lain.

Gejala ini saya gelar ‘muntahan otak’.

Orang ramai yang terkena pembiusan ini memang menyimpan hujah dan maklumat dalam fikiran. Malah dengan sandaran hujah dan maklumat itu, mereka ‘berfikir’ untuk menjana buah-buah fikiran lain. Tetapi apabila dirungkaikan, jelas sekali sandaran-sandaran itu tidaklah boleh diterima dengan baik.

Misalkan, ungkapan-ungkapan berikut: ‘Melayu mesti bersatu’, ‘alat muzik bertali itu haram’, ‘konsert (hiburan) itu meruntuhkan akhlak’, ‘berpakaian seksi boleh menggalakkan jenayah rogol’, ‘Islam penyelamat umat’, ‘Islam dibina di atas keruntuhan jahiliah’, atau ‘ulama pewaris Nabi’.

Apabila sandaran-sandaran ini diperiksa dengan rasional dan dilihat pula konteksnya yang lebih luas, bersandarkan ilmu-ilmu bantu kontemporari, akan jelaslah semuanya ini tidak dapat dipertahankan; malah lompong sama sekali. Tetapi orang yang terbius akalnya, yang tidak kritis, akan mengulang-ulang semula hujah ini dan mengembangkan lagi menjadi wacana-wacana lain.

Dengan keyakinan agama (kononnya ‘akidah’), semua sandaran palsu atau lemah ini beranak-pinak dalam pengolahan buah-buah fikiran kita tanpa disedari. Kelihatannya fikiran atau hujah rasional tetapi hakikat sebenarnya sekadar ‘muntahan otak’!

‘Muntahan’ kerana semua sandaran ini tersimpan di dalam otak tetapi belum diproses menjadi fikiran-fikiran yang benar-benar sedar, segar dan independen. Tiada sintesis tetapi sekadar ‘rojak’ maklumat yang bertempel-tempel. Dalam tradisi agama, ia disebut taklid. Maka, ketundukan jiwa dan akal ini layak juga dipanggil ‘taklidisme’.

Ibarat seseorang yang makan dan kemudiannya muntah, masih ada sisa-sisa makanan yang belum diproses – seharusnya menjadi tenaga (khasiat) dan bahan kumuh. ‘Muntahan otak’ tidak menjana khasiat untuk badan umat Islam dan tidak pula mempunyai sisa-sisa kumuh.

Gejala ini, perlu ditegaskan, tidak terkhusus pada golongan agamawan atau orang Melayu sahaja. Sama ada berpendidikan tinggi atau tidak, suka membaca buku atau tidak, semua orang dari semua bangsa boleh terkena wabak ini, wabak yang pernah disebut oleh Immanuel Kant sebagai ‘immaturity’ dalam artikel tersohornya, ‘What is enlightenment?

‘Tidak matang’ bagi Kant (di Jerman pada abad ke-18) dalam bahasa sekarang boleh disebut sejenis ‘minda terkepung’ atau ‘jiwa terjajah’ – yakni, rasa seronok bergantung pada buah-buah fikiran orang lain, gemar disogok idea dan rasa takut, tidak yakin menggunakan akal.

Dalam pantun Melayu ada rangkap-rangkap ini: “saya budak baru belajar, mana yang salah tolong tunjukkan.”

Sebab itu apabila agamawan berdepan dengan hujah-hujah baru yang tidak mereka senangi, dari mulut mereka selalu terpacul kata-kata: “terlalu menggunakan akal”, “pakai akal sahaja”, “banyak guna akal” atau “terlalu rasional”. Kemudian, dengan sengaja, akal itu dipertentangkan atau dipolemikkan pula dengan wahyu.

Padahal akal itu seharusnya terintegrasi dengan wahyu dalam ‘maratibul 'ilm’ (seperti konsepsi epistemologi Islam). Golongan agamawan tidak sedar, akibat tertipu dengan kedudukan tinggi wahyu, bahawa akal itu sentiasa bergandingan dengan wahyu – tiada dikotomi melulu.

Berbanding bidang-bidang lain (misalnya politik), agama mencengkam jiwa dengan lebih kuat kerana adanya kepercayaan kuat kepada Tuhan, kitab suci, azab dosa, malaikat dan bidadari syurga. Ditambah pula projek mengkuduskan institusi ulama atau mendewakan tradisi ulama, kononnya ‘muktabar’, jumhur atau ‘warak’ tetapi tidak relevan dengan realiti semasa.

Agama bukan persoalan di atas muka bumi sahaja tetapi juga di alam kubur. Maka, kesan pembiusan ini sangat tebal menyelubungi akal kita semua seperti awan hitam pekat sebelum banjir besar di zaman Nuh.

Akibat dampak-dampak jiwa ini, ‘muntahan otak’ di kalangan agamawan dan pengikut mereka sama sahaja dengan gadis-gadis yang terkena bulimia nervosa – kerana terlalu ingin badan yang ramping berdaya ghairah, maka timbul kesan psikologi bahawa makanan yang diambil akan menggemukkan; oleh itu setiap kali makan, kesan psikosomatik badan lama-kelamaan akan menolaknya menjadi ‘muntah’.

Setiap kali ada kelainan hujah dengan kepercayaan sedia ada dalam fikirannya, seperti anutan yang diwarisi daripada kelompoknya, maka segera ‘muntahan otak’ pun terjadi. Di wajahnya akan tergambar ketegangan dalaman, akibat daya tolak atau rasa jengkel yang tebal. Dengan itu, khasiat baru atau tenaga tidak diperolehi; sebaliknya ia mengikis tenaga dan khasiat sedia ada – lama kelamaan semakin kurus dan kering.

Pembiusan akal memang sifat istimewa hegemoni dan semua unsur politik, agama, ideologi atau tradisi ada unsur hegemoninya sendiri. Dari mana datangnya hegemoni dalam agama?

Bagi penganut Islam, wahyu sentiasa benar. Tidak ada kritik atau sisi buruk wahyu. Kebenarannya mutlak (pernyataan 1). Oleh itu iman, akidah atau kepercayaan Muslim sentiasa benar pula (pernyataan 2). Oleh itu, hujah agamawan yang berlandaskan wahyu akan sentiasa benar (pernyataan 3).

Antara pernyataan 1 dengan 2, dan antara 1 dengan 3, wujud ‘gangguan’ sistem logik di sini tetapi sudah terselubung. Di sinilah bermula suntikan bius agama.

Kegagalan hubungan logik antara pernyataan 1 dengan 2 melahirkan individu Muslim yang rasa serba cukup dan malas menimba pengetahuan (baru). Di hatinya terbisik kata, apa yang sedia dimilikinya akan membawanya ke syurga. Sementara kegagalan logik pernyataan 1 dengan 3 melahirkan gejala ‘pengkudusan ulama’ dalam masyarakat Muslim.

Projek pengkudusan ini didukung ungkapan dari mulut kaum ustaz-ustazah juga: “ulama itu pewaris Nabi” (hadis) dan petikan al-Quran, ‘innama yakhsallah min ‘ibadihi al ‘ulama’. Konsepsi ulama itu pula dipersempitkan kepada mereka yang hanya terdidik dalam tradisi agama yang kecil (yang sudah mengalami pengkhususan, seperti juga tradisi ilmu Barat).

Di negara kita, kegagalan logik pernyataan 1 dengan 3 merebak kepada satu lagi lapisan kepalsuan: tradisi itu menjamin kebenaran (pernyataan 4).

Kepalsuan pernyataan 4 ini diuar-uarkan dengan kata “masa silam itu lebih baik daripada sekarang” sehingga kemuktabaran hujah tradisi dipertahankan tanpa fikir. Ia sebenarnya sejenis kepalsuan sejarah. ‘Muntahan otak’ bermula di sini.

Pernyataan-pernyataan 2, 3 dan 4 tidak menyimpan kebenaran mutlak; semuanya tertakluk pada kritik dan konteks. Semuanya wajar dikaji dengan mendalam dan terdedah pada penafsiran semula; mempertikaikan hal-hal ini tidak boleh dianggap ‘salah’ atau ‘berdosa’.

Tetapi akibat pembiusan agama, agamawan tidak berfikir mendalam tentang hal ini. Mereka sering tertipu antara pernyataan 1 dengan pernyataan-pernyataan 2, 3 dan 4 – seolah-olahnya 2, 3 dan 4 sama taraf kebenaran atau kemutlakannya dengan 1.

Ulama kita tidak luas lagi mendalam sumur ilmunya, maka kemalasan itu diatasi dengan menyebarkan apa yang sedia dirumuskan (daripada tradisi). Langkah ini memang mudah, hanya memuntahkan semula apa yang telah ditelan dan kadar muntah itu pula bergantung pada apa yang pernah ditelannya.

Tetapi selalunya yang ditelan itu warisan tradisi, jarang sekali tentang teori-teori kontemporari. Di sinilah ketakseimbangan itu wujud. Dalam ungkapan agamawan sendiri, mereka ini hanya ‘mengenali Islam tetapi tidak arif tentang jahiliyyah (baru)’.

Akibat-akibat buruk lain memang banyak; antaranya, program atau wacana agama lebih berorientasikan ideologi, bukan persekitaran realiti yang berubah-ubah. Kajian atau tinjauan sosial tidak berkembang dalam gerakan Islam – keghairahan untuk menyumbat atau menerap apa yang ada dalam fikiran agamawan lebih kuat daripada memahami masyarakat.

Tetapi ganjil pula, Islam yang mereka imani itu sifatnya syumul (menyeluruh atau lengkap), meliputi bidang kenegaraan dan pastilah melibatkan dasar-dasar awam. Betapa bekunya fikiran agamawan sehingga kata ‘ideologi’ tidak dapat diterima – hujah mereka, selalunya, Islam itu bukan ideologi!

Yang kita maksudkan, bukan Islam wahyu atau mutlak (pernyataan 1), tetapi Islam dalam fikiran manusia (pernyataan 2, 3 dan 4), Islam yang telah ditafsirkan, yang telah diturunkan kepada makna manusiawi, sejenis ideologi.

Semua isu mahu dilihat daripada kaca mata fekah atau teologi (kononnya, inilah cara fikir atau cara hidup Islami) tetapi sempit sekali kefahaman kemanusiaannya – di sini dinamisme manusia tiba-tiba terhenti, lihat kembali hujah mufti-mufti tentang ‘Sure Heboh’, ‘Bollywood’ atau sambutan ‘Hari Valentine.’

Dimensi-dimensi lain daripada produk budaya, seperti Akademi Fantasia, majalah hiburan atau filem Barat tidak diterokai – semuanya ini, bagi mereka, hiburan yang ‘melalaikan’, merosakkan ‘akhlak’ dan ‘maksiat’.

Halal-haram hal-hal ini pula dilihat pada isu sama ada peserta (juga penonton) itu mengerjakan solat, menutup aurat, ‘bergaul bebas’ atau sebaliknya. Dari sudut pandangan kita, analisa fekah-istik seumpama ini sejenis pendangkalan isu dan menyesatkan umat Islam daripada mengarifkan diri dengan lingkungan mereka sendiri.

Tetapi ulama, pemimpin politik Islam dan aktivis dakwah tidak pernah menggali dimensi-dimensi lain dan tidak juga sedar bahawa pendangkalan itu sejenis ‘jenayah fikiran’ terhadap umat.

Ajaibnya lagi, mereka yakin bahawa agama itu harus ditegakkan dengan memahami waqi’ atau realiti semasa! Padahal di negara kita, tidak ada seorang pun ulama yang mendalami antropologi atau teori budaya; tidak ada seorang pun ulama yang mempelopori isu-isu sains dan kritik terhadap filsafat moderniti!

Bagi agamawan, agama tidak pernah dan tidak mungkin ‘silap’ (perspektif yang terbentuk pada satah ideational) tetapi dilihat pada satah lain (misalnya sosio-agama) tidaklah benar. Dan mereka tidak lagi dapat memisahkan dua hal ini, malah dikelam-kabutkan pula. Islam itu syumul dan hanya ada satu versi sah, di luar versi ini dianggap ‘bukan Islam’.

Jadi, mereka tidak mengiktiraf ‘Islam Hadhari’, ‘Islam kiri’, ‘Islam kultural’, ‘Islam modernis’, ‘Islam tradisional’ (seperti Seyyed Hossein Nasr) atau ‘Islam liberal’. ‘Islam fundamentalis’ atau ‘Islam politik’ pula dianggap penghayatan agama yang syumul, satu-satunya versi sah; bukan satu cabang kontemporari agama.

Bagi agamawan, kerana mereka berasa diri telah bersandarkan agama (yang mutlak), mereka fikir mereka tidak mungkin tersilap. Tetapi bagi kita, mereka boleh silap seperti juga orang lain, termasuk kesilapan yang paling besar – kesilapan memahami agama dan merumuskan pandangan-pandangan agama dalam konteks kontemporari.

Oleh Fathi Aris Omar. Asalnya diterbitkan di Malaysiakini.com, 6 Disember 2004